Oleh Muhammad Aiman
Pemain Singapura, Derek Wong bakal berdepan antara aksi paling getir dalam kariernya apabila turun menentang jaguh badminton negara, Datoâ Lee Chong Wei dalam aksi penutup Kumpulan A lewat malam ini, namun dia tidak langsung gusar menantikan kesudahan perlawanan itu.
Sepertimana Chong Wei, Derek mudah menundukkan pemain Surinam, Soren Opti 21-5, 21-6 pada Jumaat dan menjelang pertemuan menentang pemain nombor satu dunia itu bagi menentukan juara kumpulan, Derek berpendapat tiada apa yang perlu dibuktikannya ketika menentang Chong Wei.
âSaya datang ke sini tanpa harapan, sejak awal lagi semua tertumpu pada Chong Wei, bermakna sejak awal lagi memang semua tahu Chong Wei akan ungguli peringkat kumpulan dan saya pula akan layak selaku naib juara kumpulan. Tiada siapa akan katakan saya boleh tumbangkan dia.
âJika menang ke atas Chong Wei, ia satu kejutan tapi saya rasa tidak perlu untuk saya menekan diri untuk buktikan apa-apa kerana saya tahu beza kualiti saya dan dia. Saya boleh bermain dengan tenang, berbeza dengan Chong Wei banyak yang mahu dipenuhinya dan dia pastinya tidak mahu sebarang kejutan berlaku di peringkat kumpulan. Ini sudah cukup untuk memberikannya tekanan.â
Derek tidak pernah menang ke atas Chong Wei yang merupakan sandaran utama menoktahkan kemarau emas negara dalam tiga pertemuan sebelum ini – yang terakhir dia tewas 10-21, 10-21 di Malaysia Masters pada awal tahun ini.
âChong Wei membawa bersama begitu banyak pengalaman dan seorang pemain berkelas dunia, dia begitu pantas di gelanggang dan pemain sepertinya adalah sangat-sangat bahaya kerana anda tidak akan tahu apa yang dia akan lakukan.
âDia boleh bermain dengan tempo perlahan dan merubah ianya kepada permainan laju dan sebaliknya hanya dalam sekelip mata. Anda tidak boleh lambat panas atau perlahan-lahan mencari rentak ketika menentangnya, kerana pada saat anda menemui rentak, dia mungkin sudah tamatkan perlawanan.
âSaya tahu dia begitu membara mahu memenangi emas olimpik selepas kecewa dua kali, tetapi saya juga membara, membara untuk melangkah sejauh yang boleh. Mungkin saya boleh katakan peluang adalah lebih baik jika berdepan pemain pilihan lebih lewat berbanding awal-awal lagi menentang mereka.
âNamun, di Olimpik, semua kumpulan adalah kumpulan maut jadi saya perlu sentiasa bersedia,â ujar Derek, pemain di ranking 55 dunia.