Pengendali skuad bawah 16 tahun negara, Raja Azlan Shah Raja So’ib boleh menarik nafas lega seketika selepas Harimau Muda mengesahkan slot ke separuh akhir Kejuaraan AFF B16 2018.

Malaysia berterima kasih dengan tandukan pemain pertahanan, Anantaza Siphongphan ke gawang sendiri untuk memastikan tiga mata penting diraih pada hari ini sekaligus mengesahkan slot separuh akhir milik Malaysia.

Jaringan tersebut nyata menyuntik semangat juang Harimau Muda yang lebih banyak berkubu di kawasan Laos.

Namun pertahanan skuad kendalian Kanlaya Symsovang ternyata sukar untuk dibolosi, malah barisan serangan Laos sekali sekala menguji kubu pertahanan Malaysia.

Tiada jarigan tambahan dilakar sehingga tamat perlawanan menyaksikan Malaysia naik ke tangga kedua dengan sembilan mata berjaya diraih selepas melakar tiga kemenangan dan satu keputusan tewas.

Manakala Laos turun ke tangga ketiga dengan tujuh mata selepas melengkapkan empat perlawanan dalam saingan kumpulan B.

Tugas getir menanti Malaysia apabila dijadual berdepan tuan rumah Indonesia untuk memburu slot ke final.

Aksi separuh akhir dijadual berlangsung 9 Ogos dimana perlawanan diantara Malaysia dan Indonesia berlangsung jam 3.30 petang waktu tempatan manakala satu lagi aksi separuh akhir antara Thailand dan Myanmar bermula jam 7.00 petang waktu tempatan.

- Advertisement -