Peluang Malaysia untuk mara beraksi di pusingan akhir Kejuaraan B-23 Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) 2018 menerima tamparan besar setelah kecundang 0-3 kepada Thailand dalam aksi kelayakan Kumpulan H di Stadium Nasional Supachalasai, Bangkok sebentar tadi.

Skuad B-22 negara yang turun dengan keyakinan tinggi setelah membenam Indonesia 3-0 dalam aksi pembukaan Rabu lalu mendapati tuan rumah terlalu unggul dan sukar digugat tatkala pasukan bimbingan Dato’ Ong Kim Swee itu dilihat tidak berupaya menterjemahkan potensi sebenar mereka.

Thailand B-22 bimbingan bekas penyerang Kelantan, Worawut Srimaka bangkit dari keputusan seri 1-1 menentang Mongolia dan mendominasi sepenuhnya perlawanan sekaligus kembali menyerlahkan status mereka sebagai pasukan pilihan.

Sedar hanya kemenangan boleh menyalakan semula misi memburu tempat ke pusingan akhir di China secara automatik, Thailand mengasak dari sepak mula dan mendahului 2-0 di separuh masa pertama menerusi dua jaringan kapten pasukan, Chenrop Sampaodi pada minit ke-24 dan dan 45.

Tidak banyak gerakan-gerakan berbahaya berjaya direncana Malaysia di separuh masa kedua untuk cuba kembali dalam permainan dengan jentera tengah dikemudi Amierul Hisyam Awang Kechik dan Syahmi Safari dilihat buntu mencipta peluang dan kerap kehilangan bola.

Malah, keadaan padang yang becak menyukarkan lagi usaha mereka untuk bermain hantaran-hantaran pendek seterusnya memecah masuk ke kawasan pertahanan lawan.

Picha Au-Tra mengesahkan kemenangan selesa 3-0 buat Thailand setelah percubaannya gagal diselamatkan penjaga gol Terengganu, Amierul Hakimi Awang empat minit sebelum tamat perlawanan sekaligus membolehkan Thailand melonjak selaku pendahulu kumpulan dengan empat mata.

Indonesia B-22 yang membelasah Mongolia B-22 dengan jaringan 7-0 dalam aksi berlangsung petang berada di tangga ketiga manakala Malaysia di tangga kedua.

Hanya lima pasukan tempat kedua kumpulan akan mengiringi 10 juara kumpulan ke pusingan akhir. – OLEH MUHAMMAD AIMAN

- Advertisement -