foto – Peraktbgmy

 

Perak perlu bangkit dengan segera daripada dua kekalahan berturut-turut dalam saingan CIMB Liga Super 2020 sekiranya enggan terus tersungkur ke kedudukan bawah liga.

Bermula agak baik pada awal musim tanpa sebarang kekalahan untuk berada di kedudukan ketiga pada minggu lalu, Perak dikejutkan dengan kekalahan besar 7-0 kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) pada Jumaat lalu meletakkan mereka di tangga ketujuh ketika ini.

Ia jelas mengecewakan skuad kendalian Mehmet Durakovic ini dan beliau perlu melakukan sesuatu bagi menyuntik moral anak buahnya apabila berdepan UiTM FC pada Jumaat depan di Stadium Perak, Ipoh.

Jelasnya, kesilapan yang dilakukan di Stadium Sultan Ibrahim tidak boleh berulang lagi dan sekarang adalah masa untuk mengumpul kembali kekuatan pasukan bagi memastikan Perak tidak terus kempunan untuk memperoleh kemenangan.

“Saya akui memang kesilapan pasukan kami menyebabkan kami kalah besar dengan JDT, tetapi sekarang ini adalah masa untuk pasukan belajar balik daripada kesilapan bagi perlawanan seterusnya.

“Kami kembali ke Ipoh, duduk berbincang dan menilai kembali apa yang sudah berlaku ketika menentang JDT selain semua pemain akan menjalani pemulihan kembali untuk kita sama-sama bangkit kembali bagi mendapatkan tiga mata di laman sendiri.

“Apa yang penting, diharapkan semua pemain akan terus bersemangat dan mendapatkan semula keyakinan diri daripada kekalahan itu, kerana perlawanan seterusnya menentang UiTM ini memang penting untuk kami”, jelasnya.

Selepas enam perlawanan, Perak menghuni tangga ketujuh liga dengan lapan mata berjaya diraih.

Kekalahan ke atas UiTM FC pada perlawanan seterusnya akan meletakkan skuad kendalian Mehmet Durakovic menghampiri zon penyingkiran.

 

- Advertisement -