Ketua jurulatih PDRM FC, Wan Rohaimi Wan Ismail perlu melakukan sedikit rombakan susulan kecederaan yang dialami kapten pasukan, Lazarus Kaimbi sekali gus terpaksa diketepikan sekali lagi dalam aksi Liga Premier berdepan Terengganu FC II pada Ahad ini.

Kaimbi mengalami kecederaan patah tulang di bahagian kaki kanan dan terlepas perlawanan menentang Skuad Projek FAM-MSN pada Ahad lalu.

Rohaimi bagaimanapun menjangkakan pemain berusia 33 tahun ini terpaksa melupakan sekurang-kurangnya tiga perlawanan lagi sehingga dia pulih sepenuhnya untuk kembali beraksi.

Bukan itu sahaja, beliau juga tidak boleh menggunakan khidmat pertahanan, Amir Saiful Badeli yang telah digantung perlawanan selepas mengumpul tiga kad kuning setakat ini sekali gus mengakui aksi menentang Terengganu FC II ini akan lebih sukar untuk mereka.

“Kita tahu Terengganu FC II masih belum tewas lagi setakat ini, dan saya selalu ingatkan kepada pemain jangan letakkan diri dalam keadaan selesa walaupun sebelum ini kita pernah menang tiga kali berturut-turut.

“Sekarang ini pun kita turun tanpa kekuatan yang sebenar apabila Lazarus masih cedera, Amir juga digantung perlawanan, jadi memang akan ada perubahan pemain nanti.

“Saya ada bertanyakan keadaan Lazarus, dan dia kata bahagian kaki kanan masih lagi terasa sakit dan ada sedikit patah, jadi saya rasa kita kena bersedia untuk kehilangannya bagi tiga aksi akan datang.

“Yang penting, kita kena pastikan kita tidak tercicir mata lagi sebab kedudukan pasukan juga belum selamat apatah lagi kita juga ingin kejar slot ke Piala Malaysia,” jelasnya.

Sementara itu, pengendali Sarawak United, E. Elavarasan mahu anak buah belajar daripada kesilapan ketika tewas kepada Terengganu FC II pada Selalu lalu dan yang penting, perlu menang ke atas Kelantan FC pada malam esok.

Setakat ini, Sarawak United hanya tewas dua kali dalam 12 perlawanan dan mereka enggan berdepan lebih banyak kekalahan apatah lagi aksi pada malam esok akan berlangsung buat kali pertama di Stadium Negeri.

“Kami sudah lama menantikan untuk beraksi di laman sendiri, dan akhirnya pada malam esok kita dapat juga bermain di Stadium Negeri.

“Jadi, saya ingatkan kepada pemain bahawa kita tidak boleh tercicir mata apatah lagi di rumah sendiri dan mahu atau tidak, kena kembali konsisten dengan kemenangan seperti pada awal musim dahulu.

“Sekarang kita di nombor tiga dalam liga, jadi saya rasa kalau kita berjaya elak daripada kalah, kita boleh kembali bangkit untuk berada di atas”, katanya.

Selain aksi Sarawak United dan Kelantan FC, dua lagi perlawanan Liga Premier akan berlangsung pada malam esok membabitkan Selangor FC 2 menentang Perak FC II dan Johor Darul Ta’zim (JDT II) melawan Skuad Projek Fam-MSN.

- Advertisement -