Ketua pasukan Felda United, Jasazrin Jamaluddin,  mengharapkan ada berita menggembirakan berhubung latihan penuh secara berkontak pada minggu hadapan yang disifatkan umpama nyawa kepada sesuatu latihan terhadap mana-mana pemain.

Bukannya bermaksud rasa kurang berpuas hati dengan kebenaran yang diberikan buat masa kini namun bekas pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Pulau Pinang ini menyifatkan sudah sampai masanya latihan secara penuh perlu diberi pertimbangan.

Selain melihat penurunan kes COVID-19, Jasazrin juga melihat dengan jangkaan liga dapat bermula lebih awal dari September menjadikan amat sesuai dengan langkah Kementerian Belia dan Sukan (KBS)  membawa cadangan latihan penuh secara berkontak ke Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Mengenai Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Khamis depan.

“ Sememangnya saya mewakili pemain-pemain lain mengharapkan latihan secara kontak akan mendapat lampu hijau tidak lama lagi selepas mendengar cadangan daripada KBS.

“ Kalau tidak ada latihan secara kontak, memang susah buat kami secara sepenuhnya melakukan latihan yang diperlukan jurulatih terutama dalam soal taktikal kerana semua tidak serentak bersama di atas padang.

“ Buat masa ini, kami sudah boleh ikuti semua SOP(Prosedur Operasi Standard) yang ditetapkan selepas tiga bulan walaupun akui bukan mudah mendapatkan kembali kecergasan dalam tempoh yang singkat, ” katanya.

Hasrat Jasazrin itu turut disokong rakan sepasukan, Azmizi Azmi, yang berkata selepas tempoh yang agak lama tidak bermain, latihan penuh secara berkontak amat penting bagi membentuk kembali persefahaman sesama pemain.

Menurutnya, buat masa ini penekanan pasukan hanya diberikan kepada membentuk kecergasan dan dia yakin sudah sampai masanya, sudah ada kelonggaran diberikan kepada tiap pasukan selepas berjaya mematuhi semua SOP ditetapkan.

“ Bagi saya tidak lengkap persiapan sesuatu pasukan jika semua pemain tidak dapat jalani latihan secara bersama-sama kerana amat penting mencipta kembali keserasian ekoran dah lama liga ditunda.

“ Sukar kami menyusun kembali rentak pasukan kerana bola sepak ini sememangnya perlukan kontak penuh bagi memastikan kami mendapat tahap kecergasan yang diperlukan apabila turun dalam mana-mana perlawanan,”  katanya.

Semalam, beberapa rakan kongsi Liga Malaysia iaitu Melaka dan Sabah bersetuju dengan Malaysian Football League yang menyokong cadangan latihan penuh secara berkontak dibawa ke Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Mengenai Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Khamis depan.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MFL, Dato Ab. Ghani Hassan melihat cadangan itu sebagai langkah tepat mengembalikan ekonomi dan keharmonian sukan negara yang berdepan krisis selepas negara dilanda pandemik COVID-19 sejak awal Mac lalu.

- Advertisement -