Malaysian Football League (MFL) mengumumkan ketiadaan pendapatan hak penyiaran Liga Malaysia pada musim 2019 menyaksikan baki kedua hak penyiaran tidak dapat diagihkan kepada Rakan Kongsi MFL.

Bagaimanapun MFL yang mengadakan Mesyuarat Rakan Kongsi Luar Biasa MFL (EGM) Yang Pertama menjelaskan, biarpun berdepan kekangan itu, mereka tetap menunaikan tanggungjawab dengan mengagihkan hak penyiaran dan komersial sejumlah RM24 juta kepada rakan kongsi pada 15 Julai lalu.

Berdasarkan Perlembagaan MFL Jadual 7 (Pengedaran Pendapatan Rakan Kongsi Liga) dan 7A, jumlah agihan kepada Rakan Kongsi akan ditentukan oleh Ahli Lembaga Pengarah MFL jika pendapatan hak penyiaran dan komersial kepada Rakan Kongsi adalah kurang daripada RM18 juta.

Jelas apa yang berlaku pada musim ini, MFL tidak meraih pendapatan hak penyiaran seperti dirancang untuk diagihkan kepada rakan kongsi namun selaku pengendali Liga Malaysia masih berjaya mengagihkan pendapatan sebanyak RM1.5 juta kepada pasukan Liga Super dan RM500,000 kepada pasukan Liga Premier pada 15 Julai lalu.

MFL turut menjelaskan bahawa badan pentadbir Liga Malaysia itu akan membuat bayaran pendapatan untuk musim 2020 berdasarkan pendapatan penajaan diraih dengan agihan kepada Rakan Kongsi dilaksanakan seperti apa yang termaktub di dalam Perlembagaan MFL.

Dalam pada itu, MFL turut menjelaskan bahawa prosedur rapi serta proses Economic Control Programme (ECP) menjadi faktor Liga Malaysia musim 2020 bermula pada 28 Februari tahun depan.

Bermula musim depan, pasukan Liga Super dan Liga Premier perlu mematuhi peraturan baharu iaitu ECP di mana langkah MFL ini sebagai usaha menangani masalah kewangan pasukan khususnya hutang dan tunggakan gaji pemain.

Bagi melaksanakan ECP, MFL telah mengadakan taklimat pertama kepada kesemua pasukan bertanding mengenai proses serta prosedur ECP di Hotel Tenera, Bangi pada 18 November lalu.

Mengulas lanjut, MFL mendedahkan prosedur dan proses ECP menjadi faktor sepak mula Liga Malaysia bermula pada akhir Februari tahun depan di mana proses untuk menyemak setiap bajet daripada setiap pasukan mengambil masa sebulan.

- Advertisement -