Oleh Ku Mohd Lufti

Status Malaysia selaku tuan rumah perlumbaan Formula Satu (F1) terjawab apabila kerajaan sah tidak lagi melanjutkan kontrak penganjuran mulai tahun depan.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam satu kenyataan media menjelaskan, kontrak itu terpaksa ditamatkan berikutan pulangan yang semakin merudum berbanding kos penganjuran.

“Keputusan ini dibuat setelah mengambil kira laporan dan pandangan daripada Sepang International Circuit (SIC) mengenai impak kewangan acara F1 ini kepada semua pihak berkepentingan.

“Kerajaan terpaksa menanggung kos penganjuran yang sangat tinggi setiap tahun. Namun begitu, pulangan daripada menganjurkan kejohanan ini semakin berkurangan dari segi penonton, pengunjung dan jumlah kedatangan pelancong asing semasa perlumbaan berlangsung sejak beberapa tahun lalu,” kata datuk Seri Najib.

Beliau yang juga Menteri Kewangan, menambah, di awal penganjuran F1 di Litar Antarabangsa Sepang, ia  dapat mempromosikan Malaysia sebagai salah satu venue terbaik acara sukan bertaraf dunia selain mempromosi negara sebagai destinasi perlancongan.

“Pada tahun 1999, hanya 16 buah negara menjadi tuan rumah kepada perlumbaan berprestij termasuk dua negara Asia tetapi ia kini telah meningkat kepada 21 buah negara dengan enam negara Asia sekaligus mengakibatkan penurunan pulangan kepada penganjur dan negara,” katanya.

Penamatan penganjuran perlumbaan tidak bermakna sukan permotoran akan dilupakan, sebaliknya Datuk Seri Najib akan memastikan kerajaan memberi penumpuan terhadap pembiayaan dalam sukan permotoran bagi pembangunan bakat, infrastruktur, pemindahan kemahiran dan pengetahuan.

Kerajaan akan menggunakan peruntukan yang ada bagi kegunaan perlumbaan lain seperti MotoGP dan Go-Kart; membina litar perlumbaan khas di Sungai Petani, Kedah; menaik taraf kemudahan di SIC dan membantu pemandu profesional negara menjadi pemandu F1.

“Litar Sepang akan terus memainkan peranan penting dalam usaha kita mempromosi Malaysia di peringkat antarabangsa.

“Ia akan terus menjadi tuan rumah kepada acara sukan permotoran utama seperti MotoGP dan banyak lagi perlumbaan bertaraf nasional, serantau dan antarabangsa yang akan terus menarik pengunjung ke Malaysia,” katanya.

Dalam perkembangan berasingan, Datuk Seri Najib turut mengesahkan syarikat pengeluar petroleum negara,  Petronas akan terus menaja pasukan Mercedes AMG Petronas dalam perlumbaan F1 sebagai strategi pemasaran syarikat berkenaan.

Beliau menjelaskan, kerajaan sedia maklum dan mengakui sokongan yang telah diberikan oleh Formula One Management (FOM) sepanjang penganjuran perlumbaan itu di negara ini sejak 19 tahun lepas.

- Advertisement -