Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), Datuk Karim Ibrahim mahu atlet-atlet olahraga negara mencontohi semangat dan kesungguhan ditunjukkan atlet lari berpagar 110m negara, Rayzamshah Wan Sofian.

Tiga minggu lalu, atlet kelahiran Sabah itu memadam rekod kebangsaan 13.73s berusia 23 tahun milik Nur Herman Majid yang dilakar di Sukan Asia Hiroshima 1994 dengan catatan masa 13.67s di Kejohanan Kurpfalz Gala di Jerman.

Terbaru hari ini, Rayzamshah membuktikan kredibiliti sekali lagi apabila meraih pingat perak di final B Kejohanan Olahraga Anhalt, Jerman dengan catatan masa 13.84s, tewas kepada pelari Kuwait, Al Yoha Yacoub (13.59s). 

Justeru Karim memuji pengorbanan Rayzamshah dan melabel atlet senior berusia 29 tahun itu sebagai sandaran terbaik untuk meraih pingat emas di Sukan Sea Kuala Lumpur 2017.   

“Dia atlet yang cukup matang, mampu berlatih sendirian dengan meninggalkan keluarga lebih dua bulan di Liepzig, Jerman demi mengharumkan nama negara. Dia tidak pernah cepat berpuas hati dan sentiasa mahu meningkatkan prestasi dan pencapaian.

“Kita ada atlet lain yang diberi peluang ke Eropah untuk menjalani latihan bersama jurulatih yang bagus, tetapi mereka banyak bagi alasan. Bagi saya ini adalah atlet-atlet yang layak digelar jaguh kampung dan malas,” kata Karim ketika dihubungi Sports247.

Dengan prestasi semasa yang semakin meningkat naik, Rayzamshah dilihat sebagai prospek untuk menyumbang emas buat kontijen negara di KL 2017 sekaligus mengulangi pencapaiannya di temasya Korat 2007 yang juga merupakan kali terakhir Malaysia menang emas acara tersebut.

Dua tahun lalu di Singapura, Rayzamshah berpuas hati dengan meraih pingat perak tatkala pelari Thailand, Jamras Rittidet mengekalkan dominasinya dalam acara itu buat edisi keempat berturut-turut sejak Vientiane 2009.

Mengulas mengenai pencapaiannya, Rayzamshah berkata, “Keadaan agak sukar kerana cuaca agak sejuk dan berangin selain tiupan angin yang agak kuat dari arah depan. Apapun saya gembira kerana dapat kekalkan catatan masa sekitar 13.8s.

“Fokus utama kini adalah Sukan Sea, empat kali berturut-turut kita benarkan Thailand mendominasi jadi untuk kali ini saya akan berikan 120 peratus bagi memastikan kita merampas semula pingat emas itu,” ujar Rayzamshah. – OLEH MUHAMMAD AIMAN

- Advertisement -