Pertahananan Kelantan Mohamad Nazri Ahmad kanan mencabar bola di udara dalam perlawanan semalam di Ipoh. Pasukan Kelantan tewas 2-1 kepada Perak dalam aksi Liga Super di Stadium Perak.
Pertahananan Kelantan Mohamad Nazri Ahmad kanan mencabar bola di udara dalam perlawanan semalam di Ipoh.

PRESTASI hambar berterusan skuad The Red Warriors (TRW) memaksa penasihat Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa turun padang untuk bertemu pemain selepas pasukan itu tewas 2-1 kepada Perak dalam aksi Liga Super di Stadium Perak semalam.

Annuar menerusi satu kenyataan di laman Facebooknya berkata, prestasi hambar TRW membimbangkan malah mengakui terpaksa membatalkan kehadirannya dalam satu program seminar di Institut Sukan Negara (ISN) bagi meluangkan masa untuk berjumpa dengan pemain gergasi pantai timur itu.

Katanya, prestasi hambar yang dipamerkan TRW tidak boleh dibiarkan malah membayangkan sesuatu perlu dilakukan bagi mengembalikan kemampuan sebenar pasukan itu.

“Tidak berapa senang mengenangkan prestasi TRW. Terpaksa batal satu program seminar di Institut Sukan Negara Selasa ini dan kena jumpa anak buah nampaknya. Tak tergamak nak tengok saja,” katanya.

Bagaimanapun Annuar menegaskan tindakan untuk berjumpa dengan pemain TRW itu bukan bermaksud untuk melanggar hukuman penggantungannya malah lebih kepada memberi sokongan moral untuk membaiki prestasi pasukan.

Kekalahan itu menyaksikan TRW diaibkan kali kedua selepas tewas dengan jaringan sama kepada PKNS FC dalam aksi Liga Super di Stadium Sultan Muhammad IV 29 Januari lalu, sekaligus meresahkan penyokong skuad ‘Pahlawan Merah’.

Sementara itu, penjaga gawang Kelantan, Khairul Fahmi Che Mat dalam satu kenyataan menerusi laman Twitter, mengakui kekalahan TRW kepada Perak semalam berpunca daripada kesilapannya lantas memohon maaf kepada peminat.

“Saya minta maaf kepada seluruh rakyat Kelantan di atas kekalahan tadi (semalam). Kesilapan berpunca daripada saya dan saya bertanggungjawab di atas kekalahan tadi. Maaf sekali lagi,” katanya.

- Advertisement -