Isu gaji terus ceria dalam Liga M kali ini melibatkan pasukan Pahang dan dua pemain import mereka, Francis Forkey Doe dan Mohamadou Sumareh.

Persatuan Bolasepak Negeri Pahang (PBNP) pelik dengan tindakan Forkey Doe yang mahu membawa kes tunggakan gaji kepada badan induk bolasepak dunia (FIFA).

Pengurusan PBNP menerusi laporan media tempatan kecewa dengan tindakan Forkey Doe yang menggunakan saluran tidak tepat untuk menyuarakan ketidakpuasan hatinya kepada Tok Gajah.

Berdasarkan perbincangan awal, kedua dua pihak bersetuju untuk menamatkan kontrak pada April 2018 susulan kecederaan lutut yang serius menimpa pemain kelahiran Liberia itu.

Pahang juga dikhabarkan akan mengambil tindakan ke atas pemain naturalisasi negara, Mohamadou Sumareh yang meninggalkan Pahang dan berhijrah ke Thailand untuk menyarung jersi Polis Tero FC.

Sumareh diperkenalkan secara rasmi sebagai pemain baru kelab itu pada petang tadi menerusi laman sosial kelab itu.

PBNP tampak tidak gembira dengan tindakan Sumareh yang menggunakan klausa 8.7 Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dimana kontrak pemain boleh ditamatkan tanpa sebarang kesan jika pemain tidak menerima gaji lebih sekali.

Tindakan Sumareh mungkin ‘kejam’ di mata PBNP namun ia tampak tidak menyalahi undang undang dan pengajaran buat pasukan lain pemain bukan lagi boneka dan mereka tidak perlu tunduk kepada pengurusan yang bersikap sambil lewa melibatkan gaji.

Tidak dinafi ada pemain yang masih lembut hati untuk memberi ruang dan peluang kepada pengurusan pasukan untuk menyelesaikan tunggakan gaji, namun tidak semua mampu menghadapi drama Liga M yang tak berkesudahan.

- Advertisement -