Oleh Muhammad Aiman

Prestasi hambar ditunjukkan pasangan beregu lelaki nombor satu negara, Goh V Shem-Tan Wee Kiong nyata menimbulkan kebimbangan besar apatah lagi Malaysia ketika ini sedang dalam persiapan untuk menghadapi kejohanan Piala Sudirman yang dijadual berlangsung pada 21-28 Mei depan.

Pemenang pingat perak Sukan Olimpik Rio De Janeiro itu mengakhiri tahun 2016 selaku juara Kejohanan Dunia dan berada di kedudukan nombor satu dunia, tetapi segalanya sudah berubah dalam tempoh empat bulan sejak permulaan musim 2017.

V Shem-Wee Kiong bergelut dengan prestasi dan menambah perit, mereka sekadar mampu mara ke suku akhir All England dan Terbuka India malah tersingkir di pusingan awal dalam tiga kejohanan iaitu Terbuka Malaysia, Terbuka Singapura dan terbaru Kejohanan Badminton Asia (BAC).

Mereka juga semakin tergelincir dalam kedudukan ranking dunia, ketika ini di kedudukan keempat di belakang Marcus Fernaldi Gideon-Kevin Sanjaya Sukamuljo dari Indonesia, Li Junhui-Liu Yuchen (China) dan Mathias Boe-Carsten Morgensen (Denmark). 

Mengambil kira semua ini, tidak hairanlah jurulatih beregu negara, Jeremy Gan meminta anak didiknya itu segera bangkit dari lamunan dan meletakkan usaha untuk kembali berada di tahap prestasi yang disegani.

“Memang saya tidak berpuas hati dengan prestasi mereka, saya mahu mereka lebih fokus dan bekerja keras dalam latihan bagi tingkatkan kualiti permainan. Jangan terlalu kenangkan sangat kejayaan menang pingat perak olimpik, ia sudah berlalu. Mereka perlu fikir bagaimana mahu tingkatkan prestasi,” kata Jeremy.

Tambahnya lagi, “Saya sudah beritahu mereka, sudah berbincang dengan mereka. Saya mahu mereka tahu mereka sebenarnya boleh pergi lebih lagi daripada apa yang kita lihat sekarang ini. Mereka perlu terima teguran dan lupakan bahawa mereka adalah pemenang pingat olimpik.”

Di sebalik kejatuhan mendadak prestasi, Jeremy bagaimanapun mengakui V Shem-Wee Kiong masih sandaran utama acara beregu lelaki bagi menghadapi Piala Sudirman berbanding pasangan nombor dua yang semakin meningkat naik, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi.

“Persediaan untuk tempoh tiga minggu akan datang adalah cukup getir, mereka perlu berada di tahap prestasi terbaik. Yew Sin-Ee Yi memberikan kita satu alternatif tambahan, mereka juga bermain baik sejak kebelakangan ini dan hampir menewaskan pemain berprofil tinggi.

“Jadi kita akan menilai tahap kedua-dua pasangan apabila semakin hampir dengan pertandingan (Piala Sudirman). Malah kita mungkin juga akan mencuba gandingan baru kerana kita perlu bersedia dengan apa sahaja kemungkinan. Kita tidak tahu apa akan berlaku di sana nanti,” jelas Jeremy lagi.

Piala Sudirman akan berlangsung di Gold Coast, Australia di mana pasukan negara diundi dalam Kumpulan C bersama-sama Jepun dan Jerman. 

- Advertisement -