V_Shem-Wee_Kiong

Oleh Muhammad Aiman

Debaran mengucup pingat emas pertama Malaysia di Sukan Olimpik berterusan, dengan sandaran beralih pula ke bahu beregu lelaki Goh V Shem-Tan Wee Kiong yang akan turun beraksi dalam perlawanan akhir pada Jumaat.

Dengan mara ke final, V Shem-Wee Kiong sudahpun menyamai pencapaian terbaik Malaysia sebelum ini – membawa pulang pingat perak dari temasya Atlanta 1996 menerusi gandingan Cheah Soon Kit-Yap Kim Hock namun apa yang jelas, mereka tidak mahu sekadar berpuas hati dengan pencapaian berada di perlawanan akhir.

“Kami sudah melangkah sejauh ini, dan hanya selangkah sahaja untuk realisasikan impian meraih emas pertama jadi kami akan manfaatkan sebaiknya tempoh rehat dua hari untuk membuat persiapan rapi dan tampil pada prestasi terbaik di final nanti. Kekuatan kami di atas gelanggang adalah atitud kami, kami tidak cepat mengalah.

“Kami telah berjuang bermatian untuk melepasi halangan sebelum ini, menewaskan pilihan utama dan pilihan keenam, kini keinginan kami cukup membara dan mahu ulangi aksi sepertimana telah ditunjukkan sebelum ini. Saya percaya komunikasi dan persefahaman antara kami bertambah baik dan ia juga akan menjadi faktor penting,” ujar V Shem. 

Gandingan di kedudukan ke-12 dunia itu akan berdepan pasangan nombor empat dunia dari China, Fu Haifeng-Zhang Nan, lawan sama yang ditewaskan dalam aksi terakhir peringkat kumpulan pada Sabtu lepas sekaligus memberi bayangan awal betapa peluang untuk menang adalah seimbang.  

Dalam laluan ke final, V Shem-Wee Kiong bangkit dari ketinggalan untuk mengejutkan beregu nombor satu dunia, Lee Hyun Dae/Yoo Yeon Seong di peringkat suku akhir dan kemudiannya menundukkan beregu China, Chai Biao-Hong Wei.

Sementara itu, dalam aksi separuh akhir perseorangan lelaki yang akan berlangsung Jumaat, seorang lagi sandaran emas negara, Dato’ Lee Chong Wei akan berdepan seteru utamanya Lin Dan dari China.   

- Advertisement -