Pemain berdarah Malaysia yang sedang mencipta nama di Amerika Syarikat, Wan Kuzain Wan Kamal tidak pernah menutup peluang bermain mewakili pasukan kebangsaan Malaysia namun menjelaskan masanya belum tiba untuk dia berbuat demikian.

Pemain berusia 19 tahun itu menjadi sebutan di Amerika Syarikat sejak usia 13 tahun dek skill gelecekkan menariknya yang menjadi viral sehinggalah berjaya mencipta sejarah sebagai pemain Malaysia pertama bermain bersama kelab United Soccer League (USL), Swope Park Rangers.

Terbaru, Wan Kuzain membantu Swope Park Rangers menjulang kejuaraan USL Western Conference dengan membenam OKC Energy FC 7-6 menerusi penentuan penalti setelah pemainan 120 minit terikat seri tanpa jaringan.

Dia menyertai pasukan itu pada pertengahan tahun lalu sebagai pelatih akademi dan membuat penampilan skuad utama pada pertengahan musim ini, menyerlah sebagai antara watak utama kebangkitan pasukan itu dan itu sudah cukup menjadikannya sebagai bualan hangat peminat bolasepak tempatan.

Dalam satu laporan akhbar tempatan sebelum ini, ayah Wan Kuzain, Professor Dr. Wan Kamal Napi menyatakan pemain itu tidak mungkin akan bermain mewakili mana-mana kelab tempatan di Malaysia mahupun menyarung jersi Malaysia memandangkan dia merupakan pemain professional dan tidak melihat Liga Malaysia sebagai tempat buatnya, apatah lagi dia merupakan warganegara Amerika Syarikat.

“Ada sesetengah kenyataan mungkin disalah erti, adalah lebih elok mendengar sendiri berbanding membuat andaian sendiri. Apabila ada kenyataan mengatakan itu tidak mungkin berlaku, ia bukan bermaksud saya menutup terus peluang, sudah tentu Malaysia tetap kebanggaan saya.

“Ibu bapa, datuk nenek saya dari sini dan saya terbuka untuk menyarung jersi pasukan ini, saya tidak kata ya atau sudah tentu, tetapi maksud saya peluang itu ada, saya tidak menolaknya. Tengok dalam tempoh tiga atau empat tahun akan datang kerana fokus saya ketika ini adalah membina karier.

“Saya telah menandatangani kontrak lanjutan bersama Swope Park Rangers, dan menanti peluang diserap ke skuad utama mereka. Jika di La Liga, ia umpama anda bermain dengan Barcelona B yang bermain di Divisyen Segunda dan menanti peluang diserap ke skuad utama bermain di La Liga. Jadi saya mahu terus mengorak langkah.  

“Saya sudah mewakili skuad B-17, jika saya teruskan aksi baik dan dapat memecah masuk ke dalam skuad senior mereka, saya tidak boleh mewakili negara lain, jadi itu salah satu sebab saya mahu diberi masa. Beberapa tahun mendatang boleh membantu saya membuat keputusan lebih tepat,” ujar pemain itu kepada Sports247 dalam satu temuramah khas di Majlis Sukan Negara, Bukit Jalil.

Dia ketika ini sedang bercuti di Kuala Lumpur bersempena musim cuti USL, dan ini adalah kali pertama di berada di ibu negara. Minggu depan pemain itu akan terbang ke Sabah untuk menghabiskan baki cuti sebelum pulang ke AS pada 21 Disember. 

Untuk rekod, Wan Kuzain merupakan pemain kelahiran Carbondale, Illinois – peraturan badan induk bolasepak dunia, FIFA membenarkan seseorang pemain itu mewakili negara lain sekiranya mempunyai hubungan darah dengan negara berkenaan ataupun pernah bermastautin lebih lima tahun di negara tersebut – dengan syarat dia tidak pernah mewakili pasukan senior negara asalnya.

Mengenai khabar angin bertiup kencang mengatakan dia cuba dipancing pasukan dari Liga Malaysia, Kuzain mengiakan dengan menyatakan pasukan yang paling serius cuba mendapatkan khidmatnya adalah Kelantan, negeri kelahiran ayahnya serta beberapa pasukan lain.

Wan Kuzain pernah berlatih bersama akademi kelab dalam Liga Eradivisie Belanda, Feyenoord FC, dan kemudian bermain bersama sebuah lagi akademi, St Louis Gallagher Soccer Club – menjaringkan lapan gol dalam 27 penampilan pada musim 2015-2016.  

Rata-rata komen di laman sosial, meminta Wan Kuzain agar terus kekal beraksi di luar negara dan cuba memecah masuk ke dalam skuad utama Amerika Syarikat dalam beberapa tahun akan datang, kerana peluang untuk beraksi di Piala Dunia lebih cerah berbanding mewakili Harimau Malaya dan sekadar bermain di Sukan SEA dan Piala AFF Suzuki.

Amerika Syarikat gagal layak ke pusingan akhir Piala Dunia buat kali pertama dalam tempoh 27 tahun setelah menamatkan cabaran pusingan kelayakan CONCACAF di tempat kelima di belakang Mexico, Costa Rica, Panama dan Honduras justeru seandainya Wan Kuzain bercita-cita besar, beraksi di Piala Dunia perlu menjadi sasarannya.OLEH MUHD AIMAN 

- Advertisement -