Atlet kelahiran Taiping Perak, Chuah Ya Tian beraksi cemerlang dalam acara lompat galah kategori wanita sekaligus merangkul pingat emas dalam acara itu di Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia kali ke-49.
Atlet berusia 24 tahun itu mengungguli acara lompat bergalah dengan catatan 3.70 meter jauh meninggalkan catatan Rachel Isabel Yang Bingjie, pemegang pingat perak dari negara Singapura dengan catatan 3.60 meter.
“Saya gembira dengan pencapaian ini namun kurang berpuas hati kerana sebenarnya saya mahu sasarkan catatan lebih dari 3.70 meter ini.
“Mungkin kerana kesilapan teknikal yang saya lakukan tadi dengan menukar galah jadinya saya tidak biasa dengan galah itu,” katanya ketika ditemui di Stadium Nasional Bukit Jalil, sebentar tadi (18 Julai).
Mengulas lanjut mengenai persiapan Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) ini, Chuah Ya Tian berkata “Ini adalah sukan SEA pertama saya , jadi saya akan melakukan sebaik mungkin dan dalam masa yang sama selepas ini saya akan lakukan ‘training’ lebih sikit dengan menggunakan galah yang saya tukar dalam perlawanan tadi bagi membiasakan diri,” katanya lagi.
Bagi acara merejam lembing kategori wanita, atlet dari Terengganu, Nur Fatin Adibah Suharman menunjukkan perkembangan yang sangat positif dengan kedudukan kedua bagi meraih pingat perak dengan balingan sejauh 44.59 meter.
Sebelum ini, Fatin Adibah baru sahaja memulakan latihan sejak bulan Mei lalu ekoran kecederaan buku lali kaki yang dialaminya.
“Sepatutnya saya perlu menjalani pemeriksaan MRI (Magnetic Resonance Imaging) dahulu, tapi saya ‘hold’ dulu sebab saya yakin saya boleh lakukan dalam Kejohanan Terbuka Malaysia ini,” katanya,
Dalam perkembangan sama, atlet Adi Alifuddin Husin dari Terengganu merangkul emas dalam acara lontar peluru dengan lontaran sejauh 15.28 meter meninggalkan catatan Faris Hazim Jamaluddin atlet dari Selangor dengan lontaran sejauh 13.79 meter diikuti pemegang pingat gangsa, Mohammad Faqriez Fazuri dari Kelantan dengan catatan 12.76 meter. – OLEH HUSNIYAH GHAZALI