Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) meneruskan drama awal musim dengan menabur janji akan menyelesaikan hutang tertunggak sebelum Hari Raya Aidilfitri bulan depan.

Menerusi entri dilaman social facebook pada Jumaat, Tan Sri Annuar Musa memberi bayangan akan melakukan beberapa perubahan.

“Beberapa langkah penambah baikan akan di lakukan termasuk gaji pemain semasa akan di lunaskan sebelum raya.

“Sistem bonus baru juga akan di perkenalkan oleh PENAJA utk memberi nafas baru kpd TRW,”kata Annuar Musa dipetik menerusi laman social Facebook.

KAFA sah mengikat Abou Bakr El Mel dan Seydi L Imam untuk mengharungi baki saingan Liga Malaysia musim ini selepas melepaskan Mohammed Ghaddar ke Johor Darul Takzim dan menggugurkan Alessandro Celin.

Malah, Kelantan turut mendapatkan khidmat Alfredo Gonzalez yang dilantik sebagai Pengarah Teknikal yang akan membantu Jurulatih The Red Warriors, Zahasmi Ismail.

Berdasarkan kenyataan Annuar Musa hanya pemain semasa menjadi perhatiannya sedangkan Johnathan Mckain, Velizar Popov dan terkini Blazhe Ilijoski juga secara lantang meminta pihak KAFA  tunggakan gaji mereka.

Kata kata janji yang ditabur sejak sekian lama ibarat cerita dongeng, tiada satu pun yang berjaya dilaksanakan.

Andai benar KAFA mendapat keuntungan hasil penjualan Ghaddar ke JDT, sejauh mana keberanian mereka untuk mendedahkan jumlah bayaran yang diterima dan perancangan bagi menguruskan perbelanjaan termasuk peruntukkan daripada penaja selepas ini?

Isu ini sudah sampai ke pengetahuan Persekutuan Pemain Profesional Antarabangsa (FIFPro) yang menganggap tindakan KAFA sebagai memalukan.

FIFPro turut harian mengapa badan induk bolasepak Malaysia (FAM) tidak mengambil sebarang tindakan berhubung isu ini.

Syarikat yang menguruskan Liga Malaysia Perkongsian Liabiliti Terhad Bola Sepak Malaysia (FMLLP) juga tampak masih membisu atau terlalu berlembut berhubung isu ini meskipun telah mengenakan tindakan memotong mata ke atas Kelantan selepas gagal melengkapkan proses pendaftaran iaitu mengemukakan surat surat selesai bayaran tunggakan dari tahun tahun sebelum 2017.

FIFPro juga meminta Persatuan Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM) untuk campur tangan, namun Presidennya, Hairuddin Omar menyerahkan keputusan di tangan FAM dan FMLLP.

Bila politik bercampur dengan sukan, kepentingan peribadi menjadi keutamaan, selain merombak sistem pengurusan, Tunku Ismail mungkin perlu ‘berkasar’ dengan sesetengah individu yang masih keras kepala di dalam bolasepak Malaysia. – OLEH KU MOHD LUFTI

- Advertisement -