Oleh Muhammad Aiman

Segala tumpuan mungkin terarah kepada halatuju penyerang sensasi Kelantan, Mohamed Ghaddar yang hebat dikaitkan dengan perpindahan ke Johor Darul Takzim, namun kemelut kewangan kritikal mungkin menyaksikan skuad The Red Warriors melepaskan dua lagi pemain tonggak.

Nama pemain muda meningkat naik, Qayyum Marjoni Sabil dan juga tonggak pertahanan Nik Shahrul Azim Abdul Halim – kedua-duanya produk Piala Presiden Kelantan – turut diberitakan menjadi sasaran apabila jendela perpindahan dibuka kedua dibuka secara rasmi minggu depan.

Qayyum dilaporkan cuba dipancing Felda United manakala Nik Shahrul Azim pula menarik perhatian pasukan berbelanja besar, Melaka United yang sedang dalam usaha memperkasakan barisan pertahanan bagi mengharungi baki 10 aksi pusingan kedua Liga Super.

Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA), Dato’ Ismail Md Noor berkata, “Memang kita ada menerima permohonan rasmi dari beberapa pasukan yang mahu mendapatkan khidmat pemain tonggak kita. KAFA sebolehnya tidak mahu melepaskan mana-mana pemain tetapi pasukan kecil dan berdepan masalah kewangan seperti Kelantan sukar untuk menandingi kuasa wang.

“Kita cuba berunding dengan Ghaddar dan juga pemain yang lain supaya tidak tinggalkan pasukan, tetapi kita sedar kuasa duit adalah segalanya. Ghaddar ditawarkan kontrak sehingga akhir musim ini, kontrak Qayyum juga berakhir hujung musim ini manakala Nik Shahrul masih ada kontrak sehingga hujung 2018.”

Sebelum ini, tindakan JDT cuba memancing Ghaddar, penyerang dari Lubnan yang mengharungi musim cemerlang setelah menjaringkan 18 gol dalam 12 perlawanan dengan tawaran gaji enam angka serta sedikit pampasan mengundang rasa kurang senang penyokong Kelantan yang berpendapat skuad juara Liga Super itu tidak ikhlas mahu membantu dan berniat mahu menjejaskan kekuatan pasukan.

Meskipun ramai yang berkeyakinan betapa penyerang veteran itu tidak akan tunduk kepada tawaran gaji tinggi dan akan kekal bersama TRW namun dalam masa sama ada yang berpendapat sekiranya penjualan Ghaddar dapat membantu meringankan beban kewangan KAFA maka KAFA perlu mempertimbangkan peluang tersebut, bukannya bersikap ‘bodoh sombong’.

Ini kerana Kelantan diketahui sebagai pasukan yang sering bermasalah melunaskan gaji malah baru-baru ini telahpun dikenakan pemotongan enam mata oleh Football Malaysia Limited Liability Partnership gara-gara kegagalan menjelaskan tunggakan gaji bekas pemainnya justeru peluang ‘membuat duit’ seperti ini harus dimanfaatkan sebaiknya apatah lagi pemain bukan hak milik kekal mana-mana pasukan.

- Advertisement -