29th SEA Games KL2017 Men Football - Malaysia vs Myanmar - N Thanabalan
29th SEA Games KL2017 Men Football – Malaysia vs Myanmar – N Thanabalan

Penyerang meningkat naik skuad B-22 negara, N.Thanabalan tekad mahu menempatkan diri dalam kesebelasan utama Negeri Sembilan musim depan meskipun sedar ianya sukar untuk berbuat demikian dengan adanya kelibat penyerang import.

Pemain itu yang mencetus sensasi selepas menjaringkan empat gol dalam laluan membantu pasukan negara memenangi pingat perak Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 akan kembali ke pangkuan pasukan negeri kelahirannya itu selepas tempoh pinjaman bersama Felcra FC berakhir hujung bulan ini.

Thanabalan menjaringkan lima gol bersama Felcra dan membantu pasukan itu layak ke separuh akhir Piala FAM namun tahun 2018 akan menjadi musim yang sama sekali menawarkan pengalaman baru kepadanya memandangkan ini kali pertama dia bersaing memburu tempat di dalam pasukan bersama pemain import.

“Bersama Felcra saingan datangnya dari pemain-pemain tempatan sendiri, jadi saya akui ia bukan mudah terutama di bahagian serangan kerana boleh dikatakan semua pasukan menggunakan khidmat dua penyerang import. Negeri Sembilan juga begitu pada setiap musim, tapi saya anggap ini sebagai satu cabaran dan bersedia bersaing dengan mereka.

“Malah, dari satu sudut positif kita pemain tempatan boleh mendapat banyak ilmu dan pengalaman berguna dari pemain-pemain import ini dan menjadikannya sebagai batu loncatan untuk memperbaiki kualiti dan cara permainan kita.

“Saya tidak akan mengalah dan berikan lebih dari 100 peratus, apabila mendapat peluang, kita perlu buktikan dan sudah tentunya kalau kita buktikan kita lebih baik, kita akan mendapat peluang lebih kerap untuk bermain. Jadi saya tidak akan jadikan kehadiran pemain import sebagai alasan untuk berputus asa dan akan bekerja keras,” ujarnya.

Musim 2018 akan menjadi musim kelima Negeri Sembilan bermain dalam saingan 100 Plus Liga Premier. Pasukan juara Piala Malaysia 2011 itu menamatkan saingan liga musim ini di kedudukan kelima dan antara impian besar Thanabalan adalah mahu membawa pasukan Hoben Jang Hoben itu kembali beraksi dalam saingan Liga Super. OLEH MUHD AIMAN    

 

 

 

- Advertisement -