Johor Darul Takzim muncul juara Piala Sumbangsih setelah bangkit daripada ketinggalan untuk mencatat kemenangan 2-1 ke atas Kedah di Stadium Larkin, pada Sabtu.

Perlawanan yang juga merupakan aksi sulung Liga Super itu menyaksikan kedua-dua pasukan bermula dengan corak permainan menyerang dan Kedah berada di depan pada minit ke-14 menerusi jaringan pemain import, Pablo Pallares.

Tuan rumah bagaimanapun menyamakan kedudukan menerusi penyerang veteran, Luciano Figueroa pada minit ke-28 dan gol kemenangan dijaringkan Marcos Antonio yang menanduk masuk hantaran Levere Corbin Ong di separuh masa kedua.

Ini adalah kali ketiga JDT menjuarai Piala Sumbangsih dalam tempoh empat tahun manakala Kedah pula berputih mata gagal mempertahankan trofi itu yang dimenangi mereka musim lalu.

Aksi lain Liga Super menyaksikan Melaka United turut bangkit daripada ketinggalan untuk mencatat kemenangan 2-1 ke atas Kelantan di Stadium Hang Jebat.

Kelantan membuka jaringan seawal minit pertama menerusi sentuhan Bruno Lopez yang menolak masuk hantaran sepakan percuma Do Dong Hyun namun ia tidak bertahan lama apabila Melaka menjaringkan gol penyamaan menerusi sentuhan Yahor Zubovich pada minit ke-11.

Gol kemenangan Melaka hadir menerusi sepakan penalti yang disempurnakan Jeon Woo Yung pada minit ke-30.

Aksi antara Terengganu FC 1 dan PKNS FC pula berkesudahan seri 2-2. Terengganu bimbingan Irfan Bakti membuka jaringan menerusi Kipre Tcheche pada minit ke-36 sebelum Faris Ramli mengikat kedudukan tiga minit kemudian.

Rafael Ramazotti meletakkan skuad Datuk K.Rajagobal 2-1 di depan pada minit ke-68 namun Tcheche memastikan TFC1 meraih satu mata menerusi gol penyamaan lima minit kemudian.

Satu lagi aksi pada Sabtu menyaksikan PKNP FC  menewaskan Negeri Sembilan 1-0 menerusi jaringan tunggal Seo Kokpheng.OLEH MUHD AIMAN

- Advertisement -