Pengendali Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe bimbang sekiranya penganjuran Liga Negara-Negara Asia menjadi kenyataan maka skuad negara mungkin tidak lagi akan berpeluang menentang pasukan-pasukan yang jauh lebih baik dari segi kedudukan ranking dunia.

Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) sebelum ini menerusi kenyataan oleh Setiausaha Agungnya Datuk Windsor John Paul menyatakan kesediaan badan itu untuk membawa pertandingan diilhamkan Kesatuan Bolasepak Eropah itu ke Asia.

Walaupun masih di peringkat cadangan dan belum ada kepastian sama ada AFC akan meneruskan dengan idea tersebut, pelbagai reaksi sudah timbul berhubung penganjurannya.

Sambil mengakui ada perkara positif daripada penganjuran pertandingan itu yang akan membekalkan lebih perlawanan kompetitif dan boleh melonjakkan ranking, Cheng Hoe berkata untuk skuad kebangsaan menjadi lebih baik mereka perlu mengutip pengalaman dari pasukan pasukan yang jauh lebih baik.

“Untuk jangka panjang mungkin ia tidak menguntungkan pasukan kebangsaan kerana pada akhirnya kita tiada pilihan dan hanya akan menentang pasukan level lebih kurang sama sahaja dengan kita yang tidak akan membantu kita untuk meningkat.

“Sebagai contoh, pasukan-pasukan peringkat umur B-23, B-19 atau B-16 mengadakan perlawanan persahabatan menentang Korea Selatan, China, UAE, Arab Saudi sebab itu mereka menjadi lebih matang tetapi pasukan senior pula mungkin bertemu Yaman, Hong Kong, Nepal atau Myanmar.

“Kalau kita dapat tewaskan Nepal, Myanmar atau Yaman, adakah itu membuktikan kita sudah bagus? Kita tetap tidak akan tahu bolasepak kita di tahap mana. Itu hanya satu kemungkinan kerana kita dijangka berada dalam lapisan ketiga (Liga C) jika berdasarkan ranking semasa tetapi apa yang saya nak cakap adalah mengenai kurangnya peluang jumpa pasukan-pasukan yang lebih baik,” kata Cheng Hoe.

Kata-kata Cheng Hoe ada benarnya, namun begitu, Cheng Hoe tidak boleh lupa bahawa kedudukan pasukan di dalam sesuatu lapisan liga bukannya kedudukan kekal.

Jika benar Malaysia nanti diletakkan dalam Liga C, peluang untuk naik ke Liga B atau Liga A tetap ada bergantung kepada kedudukan akhir dalam kumpulan apabila pertandingan berakhir.

Dalam Liga Negara-Negara Eropah umpamanya, sekiranya pasukan seperti Albania, Greece, Norway dan Lithuania berminat uji kehebatan menentang gergasi dunia seperti Sepanyol, Perancis, Jerman ataupun Portugal, mereka perlu tamatkan Liga C sebagai juara kumpulan, layak ke Liga B dan cuba masuk ke dalam Liga A.

Itu kaedah yang dipraktikkan jadi jika Cheng Hoe atau Harimau Malaya mengidam untuk menentang pasukan seperti Korea Selatan, Jepun, Iran atau pasukan level lebih tinggi dalam aksi persahabatan, mereka perlulah membuktikan dahulu dengan tunjukkan satu prestasi baik menentang pasukan sama level dan mengungguli Liga C.

Tetapi jika menentang lawan sama level pun masih tidak boleh menang, tidak boleh tunjukkan satu prestasi yang baik, maka eloklah lupakan sahaja hasrat menentang pasukan-pasukan gergasi Asia kerana bimbang kita nanti bukannya mengutip pengalaman, tetapi menjadi pasukan belasahan. – OLEH MUHAMMAD AIMAN

- Advertisement -