Di kala ramai yang mungkin menganggap Sabah bakal tersungkur awal dalam saingan Piala Malaysia setelah diundi bersama juara Piala FA Pahang, juara 33 kali Selangor dan PKNP FC, Jelius Ating membuktikan tanggapan itu silap dengan memacu langkahan pasukannya melepasi halangan awal selaku juara Kumpulan D.

Bermula dengan seri menentang Pahang di tempat lawan, Sabah kemudiannya tampil dengan prestasi ‘giant-killer’ apabila merekodkan empat kemenangan berturut-turut sebelum rekod bersih mereka dicalar Pahang pada aksi terakhir peringkat kumpulan.

Walaupun tewas besar dengan jaringan 0-4 di gelanggang sendiri, perlu diingat Jelius hanya menurunkan barisan simpanan dalam aksi itu dan dia berkeyakinan tinggi pemainnya akan kembali ke landasan kemenangan apabila bertemu Kelantan dalam aksi suku akhir nanti.

Sabah akan bertandang ke Kota Bharu untuk aksi pertama pada Sabtu sebelum melayan kunjungan juara dua kali itu di Likas pada 29 September.

“Pemain-pemain telah menunjukkan satu semangat luar biasa sepanjang kempen dan ia perlu diteruskan, semangat dan keghairahan dalam diri mereka itulah kunci kita melangkah jauh.

“Kita sudah memberi satu harapan yang tinggi kepada penyokong dan kita tidak boleh berhenti di sini. Peluang ada di depan mata untuk pemain-pemain ini mengembalikan era gemilang kita,” ujar Jelius yang merupakan salah seorang tonggak skuad yang mara ke final sebanyak tiga kali pada 1996, 2002 dan 2003.

Tambahnya, “Saya juga telah memberi peluang kepada pemain-pemain simpanan mengutip pengalaman ketika menentang Pahang dan berharap mereka telah belajar sesuatu. Sudah tentunya saya perlu akui ia bukan satu perlawanan mudah menentang Kelantan yang dibarisi pemain-pemain muda berkualiti tetapi bagi saya peluang kedua-dua pasukan adalah seimbang.

“Jika kita boleh ulangi apa yang telah ditunjukkan ketika menentang Selangor dan PKNP tidak mustahil kita boleh pulang dengan kemenangan. Kita tahu benteng Kelantan bukan sukar untuk dirobohkan jadi saya perlu fikirkan strategi terbaik agar kita mendapat bekalan bagi aksi timbal balik. Ianya sudah tentu akan menjadi sedikit sukar jika tiada bekalan jaringan tempat lawan.”

Jelius dijangka mempertaruhkan gandingan Hector Ramos dan juga penyerang meningkat naik Maxsius Musa untuk merobek gawang Kelantan yang baru bolos tiga kali, malah super sub Rahman Shah Marajeh juga dilihat boleh menjadi ancaman buat Kelantan.

Di pertahanan mereka mempunyai gandingan Rawilson Batuil dan Francis Kasonde yang telah berganding cemerlang melepaskan hanya tiga gol sahaja sebelum menentang Pahang.

Sebagai rekod, selepas kejayaan mara ke final pada 2003, Sabah hanya pernah mara ke separuh akhir sebanyak dua kali pada 2004 dan 2007. Musim ini adalah musim pertama Sabah beraksi di Piala Malaysia selepas enam musim gagal melayakkan diri. MUHD AIMAN 

- Advertisement -