MFL perkenal PMOM, komited tingkatkan kualiti pengadilan Liga-M

Follow by Email
Facebook
Google+
http://www.sports247.my/v1/2019/01/mfl-perkenal-pmom-komited-tingkatkan-kualiti-pengadilan-liga-m">
Twitter
Pinterest

 

Malaysian Football League (MFL) percaya penubuhan Profesional Match Officials Malaysia (PMOM) dilihat sebagai usaha terbaik untuk meningkatkan kualiti pengadilan Liga Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Kevin Ramalingam menyatakan, MFL dengan kerjasama Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) serius untuk melahirkan pengadil profesional daripada kalangan pengadil tempatan menerusi penubuhan badan bebas pengadil PMOM.

Jelasnya, penswastaan pengadil menerusi modul yang digunakan oleh badan bebas pengadil Professional Game Match Officials Limited (PGMOL) di England bukan sahaja meletakkan penanda aras yang lebih baik sebaliknya menjadi platform terbaik untuk melahirkan lebih ramai pengadil tempatan berkualiti tinggi.

Justeru Kevin menegaskan pemilihan pegawai pertandingan berstatus profesional ini akan dipilih dengan lebih teliti antaranya kriteria iaitu ketelusan, kecekapan dan integriti bakal menjadi faktor utama sebelum diberikan kontrak profesional.

“Kita tidak boleh lagi melakukan kesilapan sama ketika menyaksikan peralihan Liga Malaysia berstatus semi-pro bertukar profesional pada tahun 1994.

“Ketika itu kita menyaksikan pemain-pemain ini menjadi pemain sepenuh masa tetapi dalam masa yang sama kita tidak melihat skop lebih luas ekoran penukaran taraf amatur kepada profesional.

“Jadi kami harus melihat kembali pada permulaan dan sama seperti pengadil, kami harus menitikberatkan apa yang harus diutamakan yang mana prestasi pengadil-pengadil akan dinilai terlebih dahulu sebelum ditawarkan kontrak profesional.

“Ini kerana usaha dan kerjasama MFL dan FAM untuk memastikan mutu pengadilan berada di tahap maksimum dan berkualiti tinggi tanpa menimbulkan sebarang pertikaian,” katanya pada sidang media menerusi persidangan video di Wisma FAM Kelana Jaya hari ini.

Turut hadir pada sidang media itu adalah Timbalan Presiden FAM, Datuk Wira Yusoff Mahadi, Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam, Pengerusi Jawatankuasa Pengadil FAM Asisten Komisioner (ACP) Md Dali Wahid dan Ketua Unit Pengadil FAM Kassim Kadir Bacha.

MFL bersama FAM mengadakan perjumpaan bersama (PGMOL) di London semalam bagi mendapatkan khidmat nasihat bersama badan induk pengadil profesional Liga Perdana Inggeris itu.

Pertemuan ini bertujuan mendapat gambaran lebih jelas serta kepakaran daripada pihak PGMOL dalam meningkatkan kualiti pengadilan Liga Malaysia.

Dalam perkembangan berkaitan, Kevin memberitahu untuk menggerakkan PMOM ini mereka akan melantik seorang pengurus besar yang bertangungjawab bukan sahaja mengurus operasi PMOM malah memilih pengadil yang layak diberikan kontrak profesional.

“Kita sedang mengenalpasti calon bagi mengisi jawatan pengurus besar dan cadangan itu akan dibawa ke dalam mesyuarat bersama Ahli Lembaga Pengarah MFL esok.

“Pengurus besar ini bertanggungjawab untuk menilai prestasi pengadil pada pertengahan musim Julai nanti sebelum ditawarkan kontrak profesional,” tambahnya.  MUHD AIMAN 

Please follow and like us:
0