Benfatto beri hatrik buat Androni; Dyball muncul juara edisi ke-24 LTdL

Follow by Email
Facebook
Google+
http://www.sports247.my/v1/2019/04/benfatto-beri-hatrik-buat-androni-dyball-muncul-juara-edisi-ke-24-ltdl-2019">
Twitter
Pinterest

Pelumba Androni Giocattoli-Sidermec, Marco Benfatto melengkapkan hujung minggu cemerlang buat pasukan profesional benua dari Itali itu apabila menutup tirai saingan edisi ke-24 PETRONAS Le Tour de Langkawi 2019 dengan kemenangan pada Peringkat 8 di Pekan Kuah, hari ini.

Ia adalah kemenangan peringkat kali ketiga buat Androni selepas pakar pecutnya, Matteo Pelucchi memenangi Peringkat 5 dan 6, sebelum Benfatto mempamer kehebatannya ketika menghenjut ke garisan penamat dan memenangi kayuhan sejauh 103.8km itu, mengetepikan pelumba St George Continental, Blake Quick dan rakan sepasukan Pelucchi, dengan merakam masa 2 jam 17 minit 42 saat.

Pasukan dipimpin Gianni Savio itu turut merakam kemenangan Peringkat 4 dalam perlumbaan Circuit Cycliste La Sarthe di Perancis menerusi Andre Verdrame, semalam.

Benfatto, 31, yang dilahirkan di Camposampiero, Itali dan hadir ke LTdL berbekal satu kemenangan peringkat di Vuelta a Tachira pada Januari lalu, memilih detik yang tepat ketika Quick terlalu awal memecut, sebelum selesa memintas lawannya itu menjelang 25 meter ke garisan penamat.

Dia yang bertindak sebagai pembantu Pelucchi dalam dua kemenangan rakan sepasukannya itu sebelum ini, berada di kelompok depan peloton selepas kumpulan besar menangkap beberapa pelumba dalam kumpulan breakaway sebelum mencari posisi di belakang pasukan Floyd’s, sebelum mengekori Quick yang mula memecut pada baki 150 meter.

Di akhir peringkat penutup itu, kesemua empat jersi rebutan terus kekal kepada penyarung masing-masing, dengan pelumba Sapura Cycling Team, Benjamin Dyball mengesahkan gelaran juara individu keseluruhan, apabila tiba dalam kumpulan pertama melintasi garisan penamat.

Pelumba kelahiran Australia itu mengumpul catatan keseluruhan 29 jam 15 minit 53 saat, 50 saat di depan pencabar terdekat dari Floyd’s Pro Cycling, Keegan Swirbul tatkala pelumba Interpro Cycling Academy, Hernan Aguirre yang mengekori 27 saat sebelum ini, terputus dan berada dalam kelompok kedua.

“Secara keseluruhannya, saya gembira dengan kejayaan jersi kuning ini tetapi saya akui terpaksa bekerja keras setiap hari sejak kemenangan di Genting Highlands.

“Rakan sepasukan Sapura bekerja keras mengawal perlumbaan di dalam kumpulan besar dan membantu saya pada setiap peringkat,” kata Dyball yang dilamar Sapura dari pasukan St George Continental selepas pelumba itu mempamer persembahan baik dengan menduduki tempat ketiga keseluruhan pada LTdL 2018 lalu.

Katanya, dia cukup berpuas hati dengan perjalanan LTdL yang sengit dan kompetitif setiap hari dan berharap dapat mempertahankan jersi kuning itu pada tahun depan, selain kagum dengan sokongan yang diberikan kelab peminat Sapura Cycling Team di setiap peringkat.

Kegembiraan yang sama dikongsi Travis McCabe yang ditabalkan sebagai Raja Pecut pada edisi ke-24 LTdL 2019 ini, mengikut jejak langkah pengurus pasukan itu Gordon Fraser yang memenangi gelaran sama pada LTdL 2000 dan 2004.

“Pada 2017 dulu, saya menang 2 peringkat tetapi kali ini, saya menang satu peringkat dan jersi Raja Pecut. Ini satu kemenangan yang besar buat pasukan baru seperti Floyd’s.

“Ia perlumbaan yang bagus, kompetitif dan menarik. Saya berharap dapat berlumba lagi di sini pada tahun depan,” kata McCabe yang memenangi Peringkat 3 di Putrajaya dan sentiasa memastikan berada dalam kelompok 10 teratas pada setiap peringkat.

Hadir tanpa sebarang jangkaan, gelaran Raja Bukit buat pelumba Oliver’s Real Food Racing, Angus Lyons nyata memberi kemenangan manis buat pelumba berusia 23 tahun itu.

Dia menyarung jersi merah itu dari peringkat pertama dan bijak memastikan kutipan mata pada zon pendakian sekalipun gagal menempatkan diri dalam kelompok 15 terbaik ketika mendaki ke puncak Genting Highlands.

“Sejak peringkat pertama menyarung jersi merah ini, saya merangka strategi tersendiri untuk memastikan terus berada di tangga teratas kutipan mata pendakian.

“Kami datang tanpa sebarang sasaran dan dengan cuaca yang panas dan sekali-sekala hujan di LTdL ini, ia memberi pengalaman baru yang menyeronokkan. Jersi merah Raja Bukit ini menambah kemanisan itu,” kata pelumba kelahiran Ballarat, Australia itu.

Sementara itu, pelumba Vino-Astana Vadim Pronskiy ditabalkan sebagai pelumba terbaik Asia dan terus mengesahkan jersi putih yang disarung sejak Peringkat 4 di Genting Highlands.

“Saya berterima kasih dengan rakan sepasukan yang bekerja keras setiap hari dan berharap dapat datang dan mencabar jersi kuning pula pada tahun depan,” kata pelumba 22 tahun itu yang menduduki tangga ketiga individu keseluruhan, di belakang Dyball dan Kevin Swirbul dari Floyd’s Pro Racing.

Sementara itu, Floyd’s turut dinobatkan sebagai juara berpasuka keseluruhan, mengatasi Sapura dan Vino Astana, yang turut muncul selaku pasukan terbaik Asia.

Please follow and like us:
0