Ketua jurulatih Kedah, Aidil Sharin Sahak menyifatkan beliau lebih selesa skuad kendaliannya dilabel sebagai pasukan bukan pilihan menjelang aksi final Piala Malaysia 2019 bertemu Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ), malam esok.

Ini kerana Aidil yang masih segar kejayaan membantu skuad Helang Merah menjuarai Shopee Piala FA 2019 di SNBJ pada Julai lalu, lebih berminat untuk menyaksikan anak buahnya bermain tanpa tekanan pada perlawanan terakhir dalam kalendar Liga Malaysia musim ini.

Bagaimanapun, Aidil mengakui Kedah sentiasa teruja bertemu pasukan hebat seperti JDT dan ia akan menyuntik moral pasukan bimbingannya untuk bermain dengan lebih baik dalam aksi final Piala Malaysia 2019 nanti.

Apa yang pasti, pengendali kelahiran Singapura itu membayangkan pertemuan menentang skuad Harimau Selatan bakal menjadi satu perlawanan cukup disajikan di SNBJ.

 

 

“(Kedah turun sebagai pasukan bukan pilihan) saya lebih selesa. Saya mahu anak-anak buah saya menikmati perlawanan akhir Piala Malaysia 2019 dan tidak mahu mereka begitu tertekan nanti.

“Seperti saya katakan sebelum ini, jika kami bertemu mana-mana pasukan hebat antaranya JDT, saya sentiasa mengingatkan pemain-pemain saya menikmati bermain bola sepak, bukannya tertekan untuk melakukan sesuatu sehingga membuatkan mereka melakukan kesilapan mudah.

“Saya optimis aksi final Piala Malaysia 2019 di antara Kedah dan JDT adalah satu perlawanan yang baik untuk aksi terakhir dalam kalendar Liga Malaysia musim ini,” katanya pada sidang media pra final Piala Malaysia 2019 di SNBJ, hari ini.

Dalam perkembangan sama, Aidil menegaskan beliau tidak berminat untuk melihat kejayaan menjuarai Shopee Piala FA 2019 ketika menewaskan Perak 1-0 menjadi sandaran utama ketika bertemu pasukan bimbingan Benjamin Mora.

 

 

Tegas Aidil, beliau mahu skuad kendaliannya kekal fokus selain mengharapkan tuah lebih memihak kepada Kedah dalam aksi final Piala Malaysia 2019.

“Sudah pasti, kamu memerlukan sedikit tuah dalam bola sepak.

“Kejayaan itu (menjuarai Shopee Piala FA 2019) sudah berlalu dan saya tidak berminat untuk menoleh ke belakang.

“Sudah pasti kejayaan memenangi Shopee Piala FA 2019 adalah satu kenangan bermakna buat Kedah tetapi saya percaya kami akan lebih fokus untuk bertemu JDT nanti,” ujarnya.

- Advertisement -