Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) menerusi Jawatankuasa Pengurusan Pasukan Kebangsaan yang dipengerusikan oleh Dato’ Ahmad Najmi Razak, hari ini secara rasminya mengumumkan senarai 20 pemain Skuad Projek Khas Lelaki Kebangsaan yang akan bersaing bagi Kejohanan Hoki Piala Dunia Remaja Lelaki, Bhubaneswar India 2021.

Kejohanan yang akan membuka tirai pada 24 November hingga 5 Disember 2021 itu menyaksikan Pasukan Malaysia menghuni Kumpulan A bersama-sama Belgium, Chile dan Afrika Selatan.

Menerusi senarai 20 pemain yang telah diumumkan sendiri oleh Dato’ Ahmad Najmi Razak dalam satu sidang media yang berlangsung di Bilik Mesyuarat KHM itu, purata usia pemain yang mewakili Malaysia ialah lingkungan 20 tahun dengan dibarisi dua penjaga gol, enam pemain pertahanan, lima pemain di posisi tengah dan tujuh pemain di bahagian serangan.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Pasukan Kebangsaan, Dato’ Ahmad Najmi Razak menjelaskan, ekoran penularan Pandemik Covid-19, penganjuran Kejohanan Hoki Piala Dunia Remaja Lelaki 2021 sedikit berbeza apabila pihak penganjur membenarkan setiap pasukan membawa 20 pemain dan mendaftar 18 pemain sebelum kejohanan berlangsung sementara dua pemain diletakkan dalam senarai bersedia seandainya berlaku perkara yang memerlukan pasukan melakukan penukaran pemain.

“Saya yakin pihak penganjur telah melakukan persediaan yang rapi bukan sahaja dari segi menganjurkan kejohanan tetapi juga menerusi Prosedur Operasi Standard (SOP) bagi memastikan semua peserta akan berada di dalam keadaan selamat.

“Ini juga salah satu sebab mengapa penganjur membenarkan semua pasukan membawa tambahan dua pemain pada kejohanan tahun ini.”

“Saya dan barisan kejurulatihan telah berbincang dan kami meletakkan sasaran untuk melepasi peringkat kumpulan terlebih dahulu dan saya juga berpesan kepada pemain bahawa ini Piala Dunia Remaja dan kejohanan ini berada di satu tahap yang lain.

“Pasukan-pasukan lain telah berlatih lebih lama berbanding Malaysia kerana Malaysia berdepan kekangan Pandemik Covid-19 dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan tidak dapat berlatih.

“Selepas pulang daripada Siri Jelajah United Kingdom, pemain-pemain telah menjalankan tugas mereka dengan baik, telah memberikan saingan yang baik kepada pasukan senior di United Kingdom.

“Saya yakin mereka boleh memberikan satu persembahan yang terbaik di India, namun sasaran kami untuk setakat ini masih untuk melepasi peringkat kumpulan terlebih dahulu dan kemudian baru kami memikirkan apa yang perlu dilakukan seterusnya,” jelas Dato’ Ahmad Najmi Razak.

Dalam pada itu, Ketua Jurulatih Skuad Projek Khas Lelaki Kebangsaan, Wallace Tan menjelaskan pemilihan 20 pemain tersebut adalah berdasarkan beberapa kriteria seperti persembahan yang ditampilkan oleh pemain sepanjang sesi pemilihan, kemahiran yang dimiliki dan semangat bekerja sebagai satu pasukan.

“Kami barisan kejurulatihan telah memilih 20 pemain untuk menggalas tugas di Kejohanan Hoki Piala Dunia Remaja Lelaki 2021, dan kami akan meneruskan sesi latihan. Kami juga sedang memperbaiki beberapa kemahiran hoki di kalangan pemain dan membina semangat pasukan sebagai persediaan untuk bersaing di Piala Dunia Remaja Lelaki 2021 nanti,” jelas Wallace Tan.

Sekiranya terdapat sebarang maklumat lanjut yang diperlukan sila hubungi Dato’ Ahmad Najmi Razak selaku Pengerusi Jawatankuasa, Pengurus Pasukan, I. Vikneswaran atau Ketua Jurulatih, Wallace Tan.

Berikut merupakan senarai 20 pemain Skuad Projek Khas Lelaki Kebangsaan yang akan mewakili Malaysia di Kejohanan Hoki Piala Dunia Remaja (Lelaki) Bhubaneswar India 2021.

1. CHE SHAHRUL AZMI CHE SAUPI PENJAGA GOL
2. MUHAMMAD HAMIZ MOHD AHIR PENJAGA GOL
3. SYARMAN MAT TEE PERTAHANAN
4. MUHAMMAD SAIFUDDIN AZLI PERTAHANAN
5. MUHAMMAD KAMARULZAMAN KAMARUDDIN PERTAHANAN
6. MUHAMMAD AMIRUL HAMIZAN AZAHAR PERTAHANAN
7. MUHAMMAD ARIF SHAFIE ISHAK PERTAHANAN
8. MUHAMMAD ZULFITRI MD ZIN PERTAHANAN
9. MUHAMMAD FARIS HARIZAN TENGAH
10. MUHAMMAD HAFIZI ZAINUDDIN TENGAH
11. ALFARICO LANCE LIAU JR TENGAH
12. PAVANDIP SINGH GURDIP SINGH TENGAH
13. MUHAMMAD SYAWAL ABD RAZAK TENGAH
14. MUHAJIR ABDU RAUF PENYERANG
15. MUHAMMAD MUHIBUDDIN MOHARAM PENYERANG
16. MOHAMAD AKHIMULLAH ANUAR ESOOK PENYERANG
17. MUHAMMAD AMIRUL HANIFF MAMAT PENYERANG
18. MUHAMMAD NOOR FIRDAUS ROSDI PENYERANG
19. MUHAMMAD ABID SUFIAN MAT RUSLEE PENYERANG
20. MOHAMAD SHAMIR RIZMI MOHD SHAMSUL PENYERANG

Berikut merupakan jadual perlawanan Pasukan Malaysia bagi peringkat Kumpulan A:

BIL PERLAWANAN TARIKH / HARI MASA
1. MALAYSIA LWN CHILE 24 NOVEMBER (RABU) 2.30 PETANG
2. MALAYSIA LWN BELGIUM 26 NOVEMBER (JUMAAT) 2.30 PETANG
3. AFRIKA SELATAN LWN MALAYSIA 27 NOVEMBER (SABTU) 5.00 PETANG

** Waktu perlawanan adalah waktu Malaysia

- Advertisement -