Selepas berakhirnya Kejohanan TNB Liga Hoki Malaysia (TNB MHL) 2022 pada hujung bulan lalu, Pengendali Skuad Senior Lelaki Kebangsaan, A. Arulselvaraj hari ini secara rasminya mengumumkan senarai 28 pemain yang dipanggil menyertai Kem Latihan Skuad Senior Lelaki Kebangsaan.

Sesi latihan yang telah bermula semalam (Khamis, 7 April) menyaksikan 25 pemain merupakan mereka yang telah bersama pasukan kebangsaan sebelum ini sementara tiga (3) pemain yang tidak berada di dalam senarai sebelum ini melaporkan diri.

Mohd Zaimi Mat Deris, Mohammad Izad Hakimi Jamaluddin dan Muhammad Shahril Saabah merupakan tiga pemain yang telah dipanggil kembali bersama pasukan kebangsaan dan menerusi senarai yang telah dikeluarkan hari ini, purata usia pemain yang dipanggil adalah 25.7 tahun.

Seramai 12 pemain merupakan pemain yang beraksi bersama Kelab Tenaga Nasional Berhad (TNB) pada kempen TNB MHL 2022, tujuh pemain daripada Kelab Maybank, enam pemain daripada Kelab Terengganu Hockey Team (THT) dan tiga pemain daripada kelab UiTM HA.

Sementara pecahan posisi pemain berdasarkan senarai 28 pemain yang dipanggil pula dapat dilihat tiga daripadanya merupakan penjaga gol, tujuh pemain pertahanan, 13 pemain diposisi tengah dan lima penyerang.

Mengulas mengenai senarai 28 pemain yang dipanggil menyertai Kem Latihan Skuad Senior Lelaki Kebangsaan, Pengendali Kebangsaan, A. Arulselvaraj menyifatkan keputusannya untuk memanggil tiga muka baru yang bukan asing dalam skuad kebangsaan adalah kerana usaha keras dan peratus kerja yang tinggi yang telah ditunjukkan mereka sepanjang Kejohanan TNB MHL 2022 berlangsung.

“Saya memanggil Zaimi kembali kerana beliau telah mempamerkan persembahan yang mengagumkan pada Kejohanan TNB MHL 2022, selain beliau turut membuktikan beliau mengambil cabaran untuk merebut kembali tempat bersama pasukan kebangsaan.

“Bagi Shahril Saabah pula, kami menggugurkan namanya daripada senarai sebelum ini atas sebab peratusan kerja dalam padang yang kurang memuaskan namun ketika TNB MHL baru-baru ini, beliau bukan sahaja menunjukkan satu persembahan yang baik tetapi juga menjaringkan gol termasuk daripada pukulan sudut penalti.

“Peratus kerja beliau di dalam padang juga telah meningkat dan beliau menunjukkan banyak peningkatan. Oleh sebab itu, kami barisan kejurulatihan memutuskan untuk memanggilnya semula.

“Izad Hakimi pula dia merupakan pemain yang mempunyai personaliti serta semangat untuk melawan yang tinggi. Namun ekoran kecederaan yang dialaminya sebelum ini menyebabkan beliau sedikit ketinggalan.

“Sepanjang perlawanan bersama Kelab UiTM HA dalam saingan liga baru-baru ini, beliau bermain dalam semua perlawanan. Beliau bermain dengan baik, memberikan arahan yang cukup jelas di bahagian pertahanan dan mempunyai personaliti sebagai ketua yang baik.

“Kami dapat melihat beliau menepati semua kriteria yang kami perlukan dalam pasukan kebangsaan. Kerja sebagai satu pasukan, bekerja keras dan terus berusaha serta sikap yang tidak mudah menyerah, semuanya ditunjukkan oleh beliau jadi kami memutuskan untuk memberinya peluang,” jelas Coach Arulselvaraj.

Dalam perkembangan yang sama, barisan kejurulatihan kebangsaan akan turut menilai prestasi pemain sepanjang beberapa sesi latihan untuk dibawa menyertai Siri Perlawanan Ujian di Australia menentang Skuad Utama Australia yang kini dikedudukan ranking pertama dunia, pada minggu hadapan.

Berikut merupakan senarai 28 pemain yang dipanggil menyertai kem latihan Skuad Senior Lelaki Kebangsaan:

1 MUHAMMAD HAFIZUDDIN OTHMAN – PENJAGA GOL – THT
2 ADRIAN ANDY ALBERT – PENJAGA GOL – UITM HA
3 MOHD ZAIMI MAT DERIS – PENJAGA GOL – MAYBANK
4 MUHAMMAD RAZIE ABD RAHIM – PERTAHANAN – MAYBANK
5 MUHAMMAD MARHAN MOHD JALIL – PERTAHANAN – THT
6 MUHAMMAD NAJMI FARIZAL JAZLAN – PERTAHANAN – MAYBANK
7 SYED MOHAMAD SYAFIQ SYED CHOLAN – PERTAHANAN – TNB
8 MUHAMMAD SYAFIQ HASSAN – PERTAHANAN – MAYBANK
9 MUHAMMAD ARIF SYAFIE ISHAK – PERTAHANAN – THT
10 MOHAMMAD IZAD HAKIMI JAMALUDDIN – PERTAHANAN – UITM HA
11 MEOR MUHAMMAD AZUAN HASSAN – TENGAH – MAYBANK
12 MUHAMMAD AMINUDDIN MOHD ZAIN – TENGAH – TNB
13 FAIZ HELMI JALI – TENGAH – TNB
14 ZULPIDAUS MIZUN – TENGAH – UITM HA
15 MUHAMMAD FIRHAN ASHAARI – TENGAH – TNB
16 NIK MUHAMMAD AIMAN NIK ROZEMI – TENGAH – TNB
17 MUHAMMAD AMIRUL HAMIZAN AZAHAR – TENGAH – TNB
18 SYARMAN MAT TEE – TENGAH – THT
19 MUHAMMAD NAJIB ABU HASSAN – TENGAH – TNB
20 FAIZAL SAARI – TENGAH – THT
21 MOHAMAD ASHRAN HAMSANI – TENGAH – MAYBANK
22 MUHAMAD RAMADAN ROSLI – TENGAH TNB
23 TENGKU NASRUL IKMAL TENGKU ABD RAHIM – TENGAH – TNB
24 SHELLO SILVERIUS – PENYERANG – THT
25 NORSYAFIQ SUMANTRI – PENYERANG – TNB
26 MUHAMMAD AZRAI AIZAD ABU KAMAL – PENYERANG – TNB
27 MUHAJIR ABDU RAUF – PENYERANG – MAYBANK
28 MUHAMMAD SHAHRIL SAABAH – PENYERANG – TNB

- Advertisement -