tan.boon.heong.3

Pemain beregu nombor satu dunia, Lee Yong Dae bakal membuat penampilan sulungnya di Resorts World Genting Purple League 2015 apabila dijadual berpasangan dengan bintang beregu negara, Tan Boon Heong pada aksi Muar City BC menentang Nusajaya BC petang esok.

Muar City yang kini unggul di kedudukan teratas liga akan turun dengan misi melebarkan rekod kemenangan dan kehadiran Yong Dae dilihat sebagai suntikan tambahan buat pasukan itu yang menanti cukup lama untuk menyaksikan aksi bintang Korea Selatan berusia 26 tahun itu setelah melantiknya sebagai mentor kepada pemain beregu pada Januari lalu.

Yong Dae yang menduduki ranking nombor satu dunia bersama gandingannya Yoo Yeon Seong tidak berpeluang turun beraksi sepanjang tahun ini dek komitmen dan penglibatan berterusan di kejohanan antarabangsa yang menyaksikan mereka meraih tujuh gelaran SuperSeries selain mara ke separuh akhir Kejohanan Badminton Dunia pada Ogos lalu.

Penampilan Yong Dae jelas satu lagi tarikan menarik untuk kejohanan ini selepas terdahulu jaguh badminton dunia, Dato’ Lee Chong Wei turut membuat penampilan sulung bersama Petaling Jaya BC  awal bulan ini manakala rakan gandingan Yong Dae, Yoon Seong pula mewakili Puchong United.

Muar City ternyata tidak ketandusan pemain dalam acara beregu di mana selain Boon Heong, mereka turut mempunyai Tan Wee Kiong, Mak Hee Chun, Han Sang Hoon dan Tan Bin Shen justeru gandingan terbaru di antara Boon Heong dan Yong Dae ini pastinya cukup menarik untuk disaksikan serta ditunggu-tunggu oleh peminat badminton tanah air.

Aksi antara Muar City dan Nusajaya akan berlangsung jam 3 petang esok (Selasa).   

- Advertisement -