Setelah mencipta sejarah menjulang Liga Futsal Brunei (LFB) pada bulan Ogos lalu, pasukan futsal elit Kuantan Rangers FC dari Pahang kini mensasarkan memburu lebih gemilang dan mengukuhkan hasrat itu dengan merekrut dua pemain kebangsaan berprofil tinggi bagi memperkasakan pasukan.
Dua pemain itu, Yazid Kamaruzuan dan Akmarulnizam Idris telahpun menyertai Kuantan Rangers bimbingan Mohamad Faizul Ghaffar pada bulan lalu sejurus berakhirnya Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL 2017). Â
Nama Yazid dan Akmarulnizam bukanlah asing bagi peminat futsal tempatan di mana kedua-duanya cukup berpengaruh dalam skuad kebangsaan bimbingan Chiew Chun Yong dan telah memainkan peranan penting bagi membantu Malaysia memenangi pingat perak di KL 2017 pada Ogos lalu.
Yazid sebelum ini pernah menyarung jersi beberapa pasukan seperti Quilmes FC, Cambio Cumbre (Australia) dan Negeri Sembilan. Tahun ini, dia membantu Melaka menjuarai Liga Futsal Kebangsaan (LFK).
Mendapat tawaran menyertai pasukan ini dari YAM Tengku Fahad Muadzam Shah sendiri, pemain berdarah kacukan berusia 25 tahun itu melihat ianya sebagai pilihan terbaik untuk mengorak langkah lebih jauh dalam arena futsal dan destinasi paling tepat untuk terus mengembangkan potensi diri.
âSudah lama saya ikuti perkembangan kelab ini, mereka antara kelab aktif di media sosial dan mendapat banyak hebahan media. Lagipun saya ada beberapa kawan bermain di Kuantan Rangers, dan Kuantan sendiri sudah seperti rumah kedua saya. Walaupun saya banyak berkelana di luar, saya membesar dan mempunyai keluarga di sini (Balok).
âApabila datangnya tawaran dari YAM Tengku Fahad, saya teruja, ia ibarat bidadari datang ketuk pintu tanya adakah awak sudi kahwini saya? Saya mendengar sendiri visi dan matlamat, perancangan dan halatuju mereka dari YAM Tengku sendiri,â jelas Yazid. Â
Tambahnya, âMembuat keputusan menyertai Kuantan Rangers bukan susah, dalam masa 10 bulan mereka telah mengukuhkan tapak malah ia telah menjadi tempat persinggahan pemain terbaik dunia seperti Rico Zulkarnain. Jadi saya pertimbangkan dan meminta pandangan dari keluarga, mereka beri lampu hijau.â
Akmarulnizam pula tanpa berselindung mengakui visi YAM Tengku Fahad mahu mengangkat darjat futsal ke aras lebih tinggi melalui penubuhan Kuantan Rangers serta profesionalisme pengurusan adalah antara faktor utama mempengaruhi keputusannya.
“Sudah tentu saya teruja menjadi sebahagian dari sebuah kelab yang bercita-cita tinggi. Tidak banyak pasukan yang mempunyai pelan atau perancangan jangka panjang sepertimana Kuantan Rangers. YAM Tengku Fahad dan YM Tengku Aidy begitu mencintai futsal dan apa yang telah mereka lakukan meyakinkan saya inilah kelab terbaik untuk saya.
“Mereka sudah membuktikan apa yang dilaungkan bukan satu omong kosong. Dalam masa beberapa bulan sudah mencipta kejayaan di luar negara (Brunei) dan semakin mendapat perhatian peminat futsal. Mereka menguruskan pasukan ini secara profesional dan mempunyai masa depan cerah.
“Mereka mahu menjadi penanda aras dalam arena futsal dan saya mahu membantu usaha itu. Sebagai anak Pahang, sudah tentunya saya gembira mahu melihat pasukan ini menjadi tumpuan dan mencipta nama baik di peringkat domestik dengan mengegar Liga Futsal Kebangsaan (LFK) mahupun antarabangsa,” kata Akmarulnizam yang mengetuai skuad futsal Pahang menduduki tempat ketiga dalam saingan LFK tahun ini.
Kedua-dua Yazid dan Akmarulnizam ketika ini sedang menjalani latihan pusat bersama skuad kebangsaan yang dalam persiapan untuk menghadapi Kejuaraan Futsal AFF 2017 di Vietnam dari 25 Oktober â 2 November depan.
Malaysia yang meletakkan sasaran sekurang-kurangnya separuh akhir telah diundi di dalam Kumpulan B bersama-sama Timor Leste, Laos dan juara bertahan Thailand. – OLEH MUHAMMAD AIMAN