Pengendali Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Arul Selvaraj menafikan jangkaan awal bahawa juara bertahan Piala TNB itu sekali lagi menjadi pilihan untuk mengulangi pencapaian cemerlang dalam saingan Liga Hoki Malaysia (MHL) 2019 yang membuka tirainya dengan aksi Piala Tan Sri P Alagendra, esok.

“Ia hanya spekulasi dan jangkaan tinggi daripada media,” kata Arul dalam keadaan tersenyum selepas sesi latihan dua jam di gelanggang rasmi Stadium Tengku Abdullah di Bangi. “Apa yang saya inginkan ia menjadi mudah seperti itu. Tetapi pastinya terdapat banyak halangan dan ujian yang perlu kami atasi untuk mencapainya.”

Menjawab segala pandangan media, Arul percaya sebenarnya Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang diperkuatkan khidmat 10 pemain negara bakal menjadi pasukan yang perlu ditumbangkan dalam musim ini.

“TNB sepenuhnya menggunakan tenaga tempatan sambil dibantu pengalaman pemain senior kebangsaan. Mereka sebuah pasukan yang berkualiti dan mempunyai kekuatan yang seimbang di segenap posisi,” katanya.

“Untuk UniKL, persiapan kami sekadar baru bermula dan juga seperti beberapa pasukan lain; pemain import kami masih belum tiba. jadi, Piala Alagendra akan menjadi pertarungan yang sukar.”

“Kami sedang bekerja dengan pemain senior dan muda untuk menghadapi sebarang situasi perlawanan dengan bijak. Kami akan mengambil satu perlawanan demi perlawanan dan menilai situasi dalam perlawanan,” katanya.

TNB mendapat bye ke separuh akhir Piala Tan Sri P Alagendra manakala UniKL akan berentap dengan TNB Thunderbolts dalam aksi suku akhir esok di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil.

Tambahnya walaupun ketiadaan Kuala Lumpur Hockey Club (KLHC) mengurangkan tahap kompetitif MHL 2019, ia langsung tidak merencatkan kemeriahan liga domestik itu apatah lagi dengan cabaran sengit daripada Terengganu Hockey Team (THT), TNB, Universiti Teknologi Mara (UiTM),  Maybank, TNB Thunderbolts dan Nur Insafi.

UniKL sekadar mempunyai tiga pemain kebangsaan dalam skuad – kapten Muhammad Marhan Mohd Jalil, Mohd Sukri Abdul Mutalib dan pakar pukulan sudut penalti Muhd Razie Abdul Rahman. 

Dua bekas pemain kebangsaan yang memperkuatkan cabaran UniKL adalah Baljit Singh Charun Singh dan Harwinder Singh.

Pemain import mereka diketuai bintang dunia Robbert Kemperman, Martijn Havenga dan Valentin Verga dari Belanda, pertahanan Timothy Deavin dan penyerang Keiren Govers kedua-duanya dari Australia, serta penjaga gol David Harte dari Ireland.

“Sebaik pemain import kami tiba, yang mana mungkin sebelum perebutan gelaran Perisai Komuniti menentang THT pada 11 Januari, waktu tersebut baru kami lebih kuat. Buat masa ini kami perlu bekerja keras dengan pemain yang ada,” tambahnya.

- Advertisement -