Ketua jurulatih Johor Darul Ta’zim II (JDT II), Ervin Boban tetap berpuas hati dengan keputusan 1-0 yang diraih anak buahnya dalam final pertama Challenge Cup 2019 menentang UKM FC, semalam.

Walaupun ia bukanlah jurang yang besar, tetapi sekurang-kurangnya barisan pemain berjaya menghalang pasukan pelawat daripada memperoleh gol di tempat lawan sekali gus tidak memberi laluan mudah kepada mereka untuk aksi timbal balik di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras pada 12 Oktober ini.

Boban tidak menafikan perlawanan pada awalnya agak perlahan untuk anak buahnya mencipta peluang meledak gol dengan turut memuji benteng pertahanan UKM FC tidak kurang hebatnya bagi mengekang asakan mereka.

Justeru, beliau mengharapkan aksi yang lebih aggresif mampu ditampilkan pemain pada final kedua nanti di mana mereka perlu memanfaatkan sebaiknya peluang untuk menghasilkan gol di tempat lawan bagi memenangi perlawanan itu.

“Kami memang bermula agak perlahan pada awalnya tetapi kami berjaya kembali perbaiki corak permainan pada separuh masa kedua untuk lebih agresif lagi.

“Sepertimana yang saya katakan, saya menghormati pasukan UKM FC dan memang betul, bukan senang untuk pemain saya atasi mereka sepanjang perlawanan sehingga akhirnya berjaya juga meledak satu gol.

“Satu gol sudah cukup memuaskan hati saya daripada tiada sebarang jaringan langsung dan paling penting, pihak lawan tidak berjaya mendapatkan sebarang gol di tempat lawan.

“Secara keseluruhan, saya puji kesungguhan barisan pemain dan kita perlu meningkatkan lagi usaha untuk final kedua nanti bagi mendapatkan lebih banyak jaringan”, jelasnya.

Penolong ketua jurulatih UKM FC, Muhammad Juzaili Samion pula menyifatkan kesilapan-kesilapan kecil yang tidak sepatutnya berlaku menyebabkan pasukannya gagal menjelmakan sebarang gol di Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang.

Beberapa peluang yang ada juga gagal dimanfaatkan dan penyudah yang tumpul menjadikan perlawanan pada malam itu lebih memihak kepada pasukan tuan rumah yang berjaya meledak satu gol menerusi Mohd Amirulhadi Zainal pada minit 64.

“Kalau tengok kepada perlawanan, kami sepatutnya boleh untuk mendapatkan keputusan sekurang-kurangnya seri.

“Tetapi tidak dinafikan menentang pasukan hebat seperti JDT II ini bukan mudah dan pemain juga banyak membuat kesilapan yang tidak sepatutnya sehingga gagal meledak gol.

“Saya nampak pemain-pemain berjaya untuk cipta beberapa peluang tetapi tiada penyudah berkesan dilakukan dan saya kena lihat balik prestasi mereka untuk perbaiki kelemahan sebelum final kedua nanti,” katanya.

- Advertisement -