Tiga perseorangan wanita antara empat wakil negara yang meneruskan saingan ke pusingan kedua kejohanan badminton Antarabangsa Sepanyol hari ini.

Mengetuai cabaran perseorangan wanita negara adalah S Kisona yang tidak berdepan masalah untuk menundukkan pemain daripada pusingan kelayakan, Nadia Fankhauser dari Switzerland.

Kisona memerlukan 27 minit untuk melakar kemenangan straight set 21-15, 21-10 dan dijadual berdepan seorang lpemain tuan rumah yang turut beraksi di pusingan kelayakan Lucia Rodriguez.

Mengikuti jejak Kisona adalah Goh Jin Wei yang melakar kemenangan mudah ke atas satu lagi pemain tuan rumah, Ana Ramirez straight set 21-5, 21-7 sekaligus akan berdepan pemain dari England, Abigail Holden.

Turut sama mara ke pusingan kedua, adalah Eoon Qi Xuan yang turut melakar kemenangan straight set 21-9, 21-15 ke atas wakil England, Freya Redfearn.

Tugas getir menanti Qi Xuan apabila dijadual berdepan pilihan ketiga dari Perancis, Marie Batomene.

Bergu campuran negara, Tee Kai Wun-Teoh Mei Xing turut sama mengesahkan slot ke pusingan kedua selepas mengatasi pasangan dari Bulgaria, Iliyan Stoynov-Hristomira Popovska straight set 21-13, 21-17.

Sementara dalam kategori bergu lelaki, Loo Bing Kun-Lwi Sheng Hao diberi kemenangan percuma secara ‘walked over’ ke atas pasangan campuran Kanada-Mexico,  B. R. Sankeerth- Job Castillo

Wakil perseorangan lelaki, Lim Chong King pula terkandas dipusingan pertama selepas kecundang di tangan wakil Republik Czech, Jan Louda 17-21, 15-21.

Kekecewaan itu bagaimanapun ditebus Misbun Ramadan Misbun yang bangkit daripada kekalahan di set pertama untuk menang ke atas pemain Perancis Yanis Gaudin 28-30, 23-21, 21-11 selepas bertarung selama 62 minit.

Satu lagi wakil bergu lelaki, Muhd Nurfirdaus Azman-Yap Roy King gagal mara ke pusingan kedua selepas tewas 18-21, 29-30 kepada gandingan Denmark, Philip Ilkum Klindt-Mikkel Stoffersen.

- Advertisement -