Cabaran hari kelima menyaksikan saingan penuh dramatik buat Malaysia pada Sukan SEA ke-33 Thailand 2025, dengan kekecewaan dalam badminton dan keunggulan sepaktakraw menjadi tumpuan utama pada Ketika kontinjen negara menambah empat pingat emas lagi selepas Hari Ke-5 saingan di Bangkok.

Pada hari Pearly Tan/Thinaah Muralitharan menyelamatkan maruah badminton negara dengan menghadiahkan satu-satunya emas, pasukan sepaktakraw lelaki mencetuskan kegembiraan apabila mengakhiri penantian 34 tahun untuk memenangi pingat emas acara berpasukan Sukan SEA.

Harapan emas tambahan dalam badminton tidak kesampaian apabila gandingan Aaron Chia/Soh Wooi Yik, Man Wei Chong/Tee Kai Wun serta pasangan beregu campuran Chen Tang Jie/Toh Ee Wei semuanya gagal memenuhi jangkaan.

Namun, sepaktakraw menghadiahkan detik paling bermakna buat Malaysia apabila pasukan kebangsaan mengejutkan musuh tradisi Thailand 2–1 untuk merangkul emas berpasukan pertama sejak Sukan SEA Manila 1991, sekali gus mengesahkan status Malaysia sebagai kuasa utama serantau dalam sukan itu.

Regu pertama yang dibarisi Haziq Hairul Nizam, Noraizat Nordin dan Amirul Zazwan Amir tewas tipis 15–9, 11–15, 15–13 kepada Thailand. Namun regu kedua Syahir Rosdi, Azlan Alias dan Farhan Adam bangkit menyamakan kedudukan selepas mencatat kemenangan tenang 17–14, 15–13 ke atas Siriwat Sakha, Thawisak Thongsai dan Rachan Viphan.

Regu penentuan yang dianggotai Zulkifli Razak, Afifudin Razali dan Aidil Aiman Azwawi tampil cemerlang apabila menang straight set 15–13, 15–11 ke atas Kritnasanapong Nontakote, Varayut Jantarasena dan Wuttinun Kamsanor untuk mengesahkan emas bersejarah itu.

Terdahulu, penembak negara Jonathan Wong meraih gelaran Sukan SEA ketiganya selepas menguasai acara pistol angin 10 meter lelaki dengan kutipan 237.8 mata. Michael Angelo Fernandez dari Filipina meraih perak (236.1), manakala Aulia Sulthanul Maruf dari Indonesia memenangi gangsa (213.1).

Kemuncak badminton hadir apabila pasangan nombor dua dunia Pearly-Thinaah kekal tenang dalam aksi final mendebarkan, menewaskan pasangan Indonesia Febriana Dwipuji Kusuma/Meilysa Trias Puspitasari 21–16, 19–21, 21–17 untuk menghadiahkan emas tunggal Malaysia dalam sukan itu.

Hasrat menambah satu lagi emas badminton tidak kesampaian apabila Aaron Chia/Soh Wooi Yik tewas straight set 21–14, 21–17 kepada pasangan Indonesia Sabar Karyaman/Moh Reza Isfahani dalam final beregu lelaki.

Sementara itu, pencak silat turut menghadirkan kegembiraan apabila Nur Syafiqah Hamzah memenangi emas acara silat seni tunggal wanita. Atlet berusia 31 tahun itu mengejutkan juara dunia Puspa Arumsari dari Indonesia di separuh akhir sebelum menewaskan wakil Brunei, Nur Wasiqah Aziemah Rosihan 9.960–9.920 dalam final.

Kedudukan pingat keseluruhan meyaksikan  Thailand terus mengungguli dengan 132 emas, 78 perak dan 46 gangsa. Indonesia berada di tempat kedua (39-56-52), diikuti Vietnam (34-34-64) dan  Singapura (26-28-32).

Malaysia kekal di kedudukan kelima dengan jumoah kutipan 112 pingat kesemuanya dengan 20 emas, 23 perak dan 69 pingat gangsa selepas berakhir saingan hari kelima. 

- Advertisement -