Oleh Ku Mohd Lufti

Hampir sebulan menjalani latihan di Australia, pelumba Terengganu Pro Asia Cycling, Mohd Adiq Hussaini Othman terpaksa akur melepaskan jelajah berbasikal, Le Tour de Langkawi 2017 selepas namanya digugurkan daripada senarai enam pelumba yang akan beraksi.

Adiq disahkan mengalami kecederaan dibahagian lutut ketika menjalani latihan kira kira tiga minggu lalu sekaligus terpaksa melupakan dua perlumbaan yang akan berlangsung pada bulan ini iaitu LTdL dan Jelajah Filipina.

Jelajah Filipina dijadual berlangsung dari 18 hingg 22 Februari manakala Le Tour de Langkawi akan berlangsung dari 22 Februari hingga 1 Mac.

“Kecederaan bukan berpunca kerana terjatuh basikal, kecederaan datang ketika saya menjalani latihan diawal minggu selepas tiba di Asutralia.

“Mungkin saya terlalu memberi tekanan yang tinggi ketika sesi latihan dan buat masa kini rawatan fisioterapi dan urut digunakan.”Kata Adiq.

Adiq juga mengesahkan turut mendapatkan khidmat pakar lutut di Melbourne atas saranan jurulatih Jeremy Hunt dan disahkan hanya mengalami ketegangan otot dibahagian lutut.

“Sekarang ini saya rasa kesakitan berkurangan, latihan tetap diteruskan tetapi tidak dapat memberi fokus sepenuhnya terhadap latihan.

“Sedih juga tidak dapat terlibat dengan LTdL tahun ini kerana sepatutnya menjadi perlumbaan kelapan sepanjang karier saya sebagai pelumba.

“Kalau masuk LTdL tetapi bukan dalam prestasi terbaik, lebih baik saya serahkan peluang itu kepada rakan rakan yang lebih baik kerana berlumba tanpa pencapaian di LTdL bukan cara saya.”Katanya lagi.

Ini bermakna, impian Adiq untuk mempertahankan jersi putih selaku pelumba terbaik Asia yang dimenanginya tahun lalu tidak kesampaian.

Namun kekecewaan pelumba kelahiran Terengganu ini terubat kerana bakal menimang cahaya mata pertama penghujung bulan ini.

- Advertisement -