Malaysia melakar kekalahan kedua apabila tewas 0-2 kepada Jepun dalam aksi terakhir peringkat kumpulan A pagi ini di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Kekalahan ini menyaksikan perjalanan selama empat tahun buat skuad bawah 16 tahun negara berakhir hari ini apabila Malaysia gagal melangkah ke peringkat suku akhir sekaligus peluang untuk Piala Dunia Bawah 17 terkubur.

Perlawanan dilangsungkan pada Khamis pagi selepas Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) membuat keputusan untuk membatalkan aksi antara Malaysia dan Jepun petang semalam susulan cuaca buruk.

Malah, perlawanan melibatkan kumpulan yang sama, Tajikistan dan Jepun tidak dapat dilangsungkan susulan keadaan padang yang tidak sesuai dimana peraturan AFC, dua perlawanan terakhir peringkat kumpulan perlu berjalan dengan serentak.

Jepun merentap semangat juang Malaysia dihadapan lebih lapan ribu penyokong dengan gol pembukaan di minit ke 37 menerusi jaringan Shoji Toyama sebelum Hikaru Naruoka memastikan kemenangan kedua untuk skuad kendalian Yoshiro Moriyama di penghujung perlawanan.

Lim Teong Kim ketika sidang media, masih tetap berbangga dengan prestasi permainan yang dipamerkan anak didiknya.

“Ianya perlawanan yang baik daripada pihak kami. Mereka cuba bangun selepas melepaskan gol yang mudah dan semua sedia maklum, Jepun sangat baik dari aspek teknikal dan taktikal,”kata Lim Teong Kim.

Dalam satu lagi aksi kumpulan A, Tajikistan mengiringi Jepun ke peringkat suku akhir selepas melakar kemenangan 2-1 ke atas Thailand di UM Arena.  KU MOHD LUFTI 

- Advertisement -