#Raja Azlan mungkin ‘akan rehatkan’ Amirul untuk elak situasi semakin tegang

Susulan isu kesilapan pemain skuad bawah 16 tahun negara, Amirul Ashrafiq Hanifah memuat naik bendera Indonesia yang terbalik, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dimaklumkan keselamatan melibatkan skuad B16 negara akan dijamin.

Kenyataan oleh Setiausaha Agung FAM, Stuart Michael Ramaligam semalam, Presiden, Dato’ Hamidin Mohd Amin telah menghubungi Persatuan Sepakbola Seluruh Indonesia (PSSI) dan Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF).

“Selepas mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif FAM di Melaka petang semalam, Presiden FAM, Dato’ Haji Hamidin Haji Mohd Amin telah pun membuat tindakan segera dengan menghubungi Naib Presiden Persatuan Sepakbola Seluruh Indonesia (PSSI), Joko Driyono dan Setiausaha Agung PSSI, Ratu Tisha Destria serta Setiausaha Agung Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF), Dato’ Sri Azzuddin Ahmad selaku penganjur kejohanan.

“Mereka bertiga telah berjanji bahawa pihak tuan rumah dan penganjur akan memastikan tahap keselamatan Amirul Ashrafiq, pemain-pemain serta pegawai pasukan Malaysia terjamin sepenuhnya sepanjang berada di Surabaya bagi Kejuaraan B-16 AFF 2018 ini,”kata Stuart.

AFF dan PSSI juga memberi jaminan kepada Hamidin untuk tidak terlalu risau dengan keselamatan pemain pemain biarpun wujud ugutan ke atas skuad B16 negara.

“Saya yakin dan percaya dengan kewibawaan AFF dan PSSI untuk mengotakan janji mereka ini serta komitmen tinggi daripada mereka untuk memastikan tahap keselamatan tinggi buat para pemain dan pegawai pasukan Malaysia, sekali gus membolehkan pasukan kita dapat memberi fokus penuh dalam menghadapi setiap perlawanan di sana,”kata Stuart lagi.

Dalam pada itu, Raja Azlan Shah Raja So’ib tidak mahu mengulas lanjut kerana Amirul telahpun memohon maaf diatas kesilapannya serta berharap keadaan kembali reda.

“Permohonan maaf telahpun dibuat, mungkin kami akan rehatkan dia (Amirul Ashrafiq) supaya tidak mengeruhkan keadaan dan situasi ketika ini,”kata Raja Azlan. – OLEH KU MOHD LUFTI

- Advertisement -