Impian Malaysia untuk mempertahankan kejuaraan AFF B18 di Vietnam tidak kesampaian apabila tewas 0-1 kepada juara empat kali Australia di pentas final.

Selepas dikecewakan 0-3 oleh skuad Brad Maloney ketika saingan peringkat kumpulan, Australia turun di pentas final dengan karakter yang berbeza sekaligus mahu memastikan kemenangan menjadi milik mereka.

Australia yang bangkit daripada ketinggalan untuk menang 2-1 ke atas semifinalis, Myanmar di peringkat separuh akhir ternyata menguasai perlawanan sepanjang 60 minit perlawanan dan lebih banyak berkampung di kubu Malaysia.

Kekuatan fizikal ternyata dimanfaatkan dengan sebaik baiknya oleh skuad kendalian Gary Rudy Peter Van Egmond untuk menekan pemain negara disegenap ruang.

Malaysia hanya menemui rentak ketika permainan berbaki 20 minit menuju penamat dan peluang terhidang tampak gagal disudahkan barisan serangan yang dipimpin Luqman Hakim.

Kem negara bertambah tertekan apabila penjaga gawang, Sikh Izhan Nazrel Sikh Azman terpaksa di usung keluar diminit 76 selepas mengalami kecederaan dan diganti dengan Firdaus Irman Mohd Fadhil.

Gawang Malaysia akhirnya bolos apabila lorongan rakan sepasukan disudahkan dengan kemas Lachlan Ricky Brook untuk Australia mendahului 1-0.

Jaringan tersebut kekal hingga tamat perlawanan sekaligus memastikan trofi kali kelima menjadi milik Australia selepas memenanginya pada 2006, 2008,2010,dan 2016.

Sementara itu, Indonesia menamatkan saingan dikedudukan ketiga selepas berpesta gol 5-0 ke atas Myanmar yang juga kali ketiga berturut turut.

 

 

 

- Advertisement -