Airmata mengiringi kemenangan sensasi 3-1 Kelantan ke atas Melaka United dalam aksi terakhir Liga Super pada Sabtu yang menyaksikan pasukan pantai timur itu terselamat pada saat yang cukup dramatik daripada tersingkir ke Liga Premier.

Kelantan tiada pilihan selain meraih kemenangan di Stadium Hang Jebat untuk terus kekal beraksi dalam Liga Super musim depan namun tampil dengan aksi buruk sepanjang separuh masa pertama dan penyokong seolah sudah putus harapan apabila Melaka berada di depan pada minit ke-30 menerusi tandukan Nicholas Swirad.

Begitupun tempoh 30 minit terakhir permainan di mana Melaka mula memperlahankan tempo permainan mengubah segalanya. Kelantan melakukan asakan bertali arus dan berhasil menyamakan kedudukan menerusi tandukan Abou Bakr Al Mel pada minit ke-74.

Pemain gantian, Alessandro Celin yang menjadi ‘bahan sumpahan’ sepanjang musim mengambil masa hanya tiga minit untuk membawa impak apabila meledak jaringan penyamaan pada minit ke-81 sebelum dia sekali lagi melengkapkan malam pesta buat seluruh penyokong Kelantan dengan menjaringkan gol ketiga pada minit ke-87.

Ia juga adalah kemenangan pertama Kelantan dalam 10 perlawanan liga sekaligus menyaksikan skuad The Red Warriors itu mengumpul 22 mata dan melonjak ke tangga kesepuluh dengan memintas Sarawak yang sekadar seri tanpa jaringan menentang T-Team di Kuching.

Satu mata yang diraih menyaksikan Sarawak mengumpul 21 mata dan kembali beraksi di Liga Premier selepas empat musim tatkala T-Team turut menghela nafas lega terselamat dari tersingkir pada hari terakhir.

Aksi tumpuan yang lain menyaksikan Pahang mengesahkan kedudukan selaku naib juara liga meskipun sekadar seri 1-1 menentang Perak manakala Felda United bimbingan B.Sathianathan menamatkan musim di tempat ketiga setelah mengatasi PKNS FC 4-2 menerusi hatrik jaringan Thiago Augusto dan satu gol jaringan Zahrahan Krangar.

Sementara Kedah pula mengakhiri musim di tempat keempat setelah mengikat Johor Darul Takzim tanpa jaringan di Darul Aman dan Selangor mengatasi Pulau Pinang 3-1 untuk berkesudahan di tangga keenam.OLEH MUHD AIMAN 

   

 

- Advertisement -