Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), mengesahkan aksi Perlawanan Persahabatan Antarabangsa Tier 1 di antara skuad kebangsaan, Harimau Malaya dengan Bahrain yang dijadual berlangsung di Stadium Khalifa Sports City, Isa Town, Bahrain pada 21 Mac 2020 terpaksa dibatalkan.

Menerusi kenyataan oleh Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam, pembatalan disebabkan Kerajaan Bahrain pada Jumaat lalu (21 Februari 2020) telah mengetatkan perjalanan keluar dan masuk ke negara berkenaan membabitkan individu-individu dari negara yang berdekatan atau berhampiran dengan wabak COVID-19 termasuk Malaysia, Singapura, Thailand, Korea Selatan dan Iran.

‘Menerusi surat yang diterima FAM daripada Persatuan Bolasepak Bahrain (BFA), hari ini, setiausaha agungnya, Ebrahim Saad Al Buainain memaklumkan bahawa pihaknya memohon maaf kerana tidak dapat meneruskan penganjuran perlawanan berkenaan berikutan arahan yang dikeluarkan oleh Kementerian Luar dan Kementerian Kesihatan negara berkenaan.

‘FAM menerima secara terbuka pembatalan aksi bertemu Bahrain ini dan akan melakukan pelan alternatif bagi penyediaan pasukan menghadapi perlawanan Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 bertemu UAE di Dubai pada 26 Mac 2020 dan menentang Vietnam di Bukit Jalil pada 31 Mac 2020, kata Stuart.

Tambahnya lagi, perkembangan terkini mengenai persiapan skuad Harimau Malaya kendalian Tan Cheng Hoe ini akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.

- Advertisement -