

Akademi Mokhtar Dahari (AMD) B14 mara ke peringkat separuh akhir Liga Bola Sepak Piala Menteri Pendidikan Malaysia Bawah 14 Tahun 2026 bersama rakan strategik 100PLUS selepas menewaskan SMK Tunku Anum Tunku Abdul Rahman 3-0 dalam aksi suku akhir di Padang Arena AMD, Gambang, Pahang pada Sabtu,12 September lalu.
AMD B14 tampil cemerlang apabila Ahmad Ayyash Hafimie Herman membuka tirai gol di minit 21 sebelum Muhammad Mifzal Shah Zulshahriman menggandakan kelebihan pada minit ke-26, sebelum Luthfil Hadi Abd Halim melengkapkan kemenangan pada minit ke-46.
Pengendali AMD B14, Rusdi Suparman, mengucapkan tahniah kepada kedua-dua pasukan atas persembahan yang ditampilkan, selain berpuas hati dengan aksi anak buahnya yang berjaya melaksanakan perancangan pasukan.
“Saya ucapkan syabas dan tahniah kepada kedua-dua pasukan kerana memberikan satu perlawanan yang cukup baik. Saya juga mengucapkan tahniah kepada pasukan saya kerana memberikan satu keputusan yang baik. Setiap perlawanan ini cukup penting, lebih-lebih lagi kita bermain di peringkat kalah mati dan setiap peluang yang ada perlu kita ambil dengan penuh tanggungjawab,” katanya.
Rusdi turut melahirkan kepuasan apabila apa yang diterapkan dalam latihan berjaya diterjemahkan pemain ketika perlawanan, terutama dari aspek permainan individu dan teknikal.
“Saya cukup berpuas hati dengan apa yang dipersembahkan oleh pasukan saya kerana apa yang kita buat dalam latihan dapat diterjemahkan dalam perlawanan. Itu yang sangat-sangat saya puas hati,” katanya.
SMK Shah Alam turut menempah tiket ke separuh akhir, menewaskan SMK Putera 4-3 menerusi penentuan sepakan penalti, selepas kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan 0-0 sepanjang 70 minit permainan.
Dalam perkembangan lain, dua lagi perlawanan suku akhir terpaksa ditunda susulan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) yang tidak sihat.
Penundaan itu dibuat selepas mengambil kira aspek keselamatan dan kesihatan pemain serta pegawai pasukan, selain selaras dengan saranan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Surat Pekeliling Ikhtisas (SPI), Kementerian Pendidikan (KPM) yang sedang berkuat kuasa.
Dua perlawanan yang ditunda membabitkan SMK Taman Desa Skudai menentang SMK Taman Desa Skudai B14 B yang dijadualkan berlangsung pada 16 September di Stadium Kulai serta SMK Seri Titiwangsa bertemu SMK Seri Kota pada 17 September di Padang 2, Akademi Mokhtar Dahari, Gambang, Pahang.
Kedua-dua perlawanan berkenaan akan dijadualkan semula pada tarikh yang akan ditetapkan mengambil kira keadaan kualiti udara serta ketetapan dan panduan semasa pihak berkuasa




























