Kelab Badminton Ampang Jaya (KBAJ) mahu terus memperkasakan program pembangunan mereka bagi  mengetengahkan lebih ramai bintang muda untuk mewarnai arena badminton tanah air.

Ketua Jurulatih KBAJ, Ho Khek Mong berkata kelab itu telah berjaya melahirkan ramai pemain muda berpotensi besar sejak beberapa tahun lalu antaranya Zachary Sia (juara beregu Terbuka Sarawak B-18), Tan Kok Xian (naib juara perseorangan Terbuka KL B-18), Lim Yi Wei (juara perseorangan wanita Terbuka KL B-12) serta Bryan Jeremy Goonting (juara perseorangan lelaki Terbuka KL B-12).

“Kejayaan yang paling mmbanggakan kita adalah menerusi Anna Cheong Ching Yik dari Melaka, yang mana merangkul kejuaraan pertama di pentas antarabangsa pada usia 19 tahun dengan memenangi Cabaran Antarabangsa Singapura B-19 bersama-sama Wong Kha Yan dan layak beraksi di Kejohanan Dunia tahun ini.

“Kita percaya dengan bantuan dan sokongan kewangan berterusan dari barisan penaja kita, kita akan terus berada dalam landasan yang tepat dan mampu untuk menghantar pemain bertanding di luar negara seterusnya meningkatkan ranking mereka baik di pentas domestik mahupun antarabangsa,” kata Khek Mong.

Khek Mong berkata demikian selepas majlis memperkenalkan Pelan Pembangunan Junior KBAJ serta pengumuman AEON Credit Service (M) Berhad dan Senheng Eletrical Sdn Bhd sebagai penaja utama kelab di ibu negara pada Selasa.

Kelab itu turut mendapat penajaan berbentuk biasiswa pendidikan dari Universiti Nottingham bernilai RM1.2 juta.

Turut hadir pada majlis itu adalah Ketua Pegawai Eksekutif Purple League, Dato’ Jack Koh; pemain beregu campuran Chan Peng Soon; serta bekas juara dunia Goh Jin Wei dan Zulfadli Zulkifli yang merupakan pemain KBAJ.

Sementara itu, Zulfadli yang ditemui selepas berakhir majlis berkata dia tidak mahu terlalu memikirkan mengenai peluangnya untuk tersenarai dalam skuad Piala Thomas 2018 sebaliknya mahu fokus dalam memburu gelaran di beberapa kejohanan utama seperti All England dan Kejohanan Dunia tahun depan.

“Tiada pemain yang tidak mahu mewakili negara ke Piala Thomas kerana itu adalah kejohanan berpasukan terbesar dalam sukan badminton. Namun kini saya enggan memikirkannya kerana beberapa tahun lalu ketika saya layak sebagai perseorangan kedua atau ketiga, saya tidak diberikan peluang. Jadi saya sudah terbiasa disisihkan.

“Lebih baik saya fokus pada kejohanan antarabangsa yang akan saya ambil bahagian tahun depan dan cuba memburu gelaran juara di beberapa kejohanan utama. Saya akan bermula dengan menyertai dua atau tiga kejohanan bertaraf Grand Prix dulu pada Januari nanti.” – OLEH MUHAMMAD AIMAN

- Advertisement -