Malaysia tampak berdepan tugas sukar dalam misi mencari kemenangan kedua dalam saingan Piala AFF Suzuki selepas terikat dua sama dengan Vietnam di Bukit Jalil

Ibarat pertemuan ketika 2014, Malaysia pastinya tidak mahu rekod tanpa kalah di Stadium Nasional Bukit Jalil lebur bagi saingan Piala AFF tahun ini.

Ketiadaan Aidil Zafuan dan Syazwan Andik yang masih dibelenggu kecederaan manakala Syahmi Safari yang digantung satu perlawanan memaksa Cheng Hoe menurunkan Irfan Zakaria dan Amirul Azhan.

Selepas beraksi 20 minit, Vietnam tampak lebih kemas memanfaatkan peluang terhidang dan meledak dua gol dalam tempoh tiga minit.

Minit ke 22, kesilapan Kapten Zaquan Adha dimanfaatkan Phan Van Duc yang melakukan hantaran silang.

Nazirul Naim yang berada di kedudukan terbaik untuk mengeluarkan bola gagal melakukannya sekaligus membuka ruang kepada Nguyen Huy Hung untuk menggegar gawang Malaysia.

Skuad kendalian Park Hang Seo terus garang meledak gol kedua, kali ini menerusi jaringan Pham Duc Huy yang melepaskan rembatan dari luar kotak penalti melepasi jangkauan Farizal Marlias untuk Vietnam selesa mendahului 2-0.

Harimau Malaya yang juga juara edisi 2010 bangkit dengan aksi yang lebih kemas dan merapatkan jurang menerusi tandukkan Shahrul Saad di minit 36 selepas menyudahkan hantaran Syamer Kutty Abba.

Babak kedua, skuad kendalian Tan Cheng Hoe tampak menghidupkan semangat juang selepas Safawi Rasid menyamakan kedudukan hasil sepakan percuma di minit ke 60.

Kedua dua pasukan terus menguji kubu lawan, namun kedudukan dua sama kekal hingga tamat perlawanan.

Malaysia akan bertandang ke Stadium Kebangsaan My Dinh, Hanoi bagi melengkapkan perlawanan final Piala AFF sekaligus menoktahkan kejuaraan.

Hadir menyaksikan perlawanan akhir pertama, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan isteri, serta Menteri Belia dan Sukan (KBS) Syed Saadiq Syed Abdul Rahman

- Advertisement -