Indonesia gagal mengulangi pencapaian mara ke final dua tahun lalu apabila ditunjukkan jalan keluar dari saingan Piala AFF Suzuki 2018 setelah pertemuan Kumpulan B antara Thailand dan Filipina di Stadium Panaad Bacolod sebentar tadi berkesudahan dengan seri 1-1.

Dengan hanya tiga mata dari tiga perlawanan hasil kemenangan ke atas Timor Leste, Indonesia menduduki tangga keempat kumpulan dan mengharapkan Filipina tewas perlawanan malam ini untuk memastikan peluang mereka terus bernyala.

Ketika Thailand mendahului 1-0 menerusi jaringan minit ke-56 Supachai Jaided dan menuju ke 10 minit terakhir, penyokong Indonesia mendoakan agar keputusan itu akan kekal hingga tamat namun dikecewakan dengan jaringan penyamaan Filipina pada minit ke-82 oleh Jovin Bedic yang memastikan kedua-dua pasukan berkongsi satu mata.

Dengan tujuh mata, kedudukan Thailand dan Filipina sudah tidak boleh dipintas Indonesia. Tersingkirnya Indonesia bermakna mereka terus kempunan untuk menjuarai Piala AFF Suzuki buat pertama kali dalam sejarah.

Perebutan tempat ke separuh akhir dari Kumpulan B kini terbuka antara Thailand yang juga merupakan juara bertahan, Filipina dan Singapura.

Singapura yang merupakan juara Piala AFF Suzuki empat kali memastikan mereka masih kekal dalam saingan apabila membelasah Timor Leste 6-1 di Stadional Kallang dengan empat jaringan mereka dihasilkan oleh pemain yang berpangkalan di Liga Malaysia.

Pemain pertahanan Pahang Safuwan Baharudin mencuri tumpuan dengan meledak hatrik manakala pemain sayap PKNS FC, Faris Ramli menjaringkan satu gol. Dua lagi gol disumbangkan oleh anak kepada ketua jurulatih Singapura sendiri iaitu Ikhsan Fandi Ahmad.

Aksi terakhir kumpulan pada 25 November depan akan menjadi penentu nasib tiga pasukan ini di mana Thailand akan menentang Singapura di Stadium Rajamangala Bangkok manakala Filipina bertandang ke Gelora Bung Karno untuk menentang tuan rumah Indonesia. – OLEH MUHAMMAD AIMAN

- Advertisement -