Jurulatih berpengalaman B. Sathianathan masih belum memikirkan hasrat untuk menggantung but sekaligus meninggalkan arena bolasepak.

Beliau sebaliknya bersedia untuk meneruskan karier kejurulatihan dan masih belum puas untuk memegang posisi sebagai ketua jurulatih.

Kritikan yang sering kali dilemparkan kepada pengendali berusia 62 tahun ini tidak dianggap sebagai serius sebaliknya beliau telahpun membuktikan kredibilitinya ketika membimbing Kelantan, ATM dan Felda United.

Malah, Sathianathan pernah dinobatkan sebagai jurulatih terbaik Anugerah Bola Sepak Kebangsaan sebanyak tiga kali iaitu pada 2010, 2012 dan 2017.

Bagi Sathia, selagi beliau masih cergas fizikal dan mental, tidak ada sebab mengapa bekas pengendali Selangor ini perlu mengundur diri daripada sukan bolasepak.

Memetik laporan Bernama, Sathia mengakui sedang ‘dipikat’ beberapa pasukan tempatan serta sebuah kelab luar negara.

Namun ia masih belum diputuskan hala tujunya kerana perlu membuat keputusan dengan sebaik mungkin.

- Advertisement -