Persoalan ataupun isu samada membenarkan semula penonton ke stadium untuk ‘menghidupkan’ semula Liga Malaysia bukan perkara utama yang perlu difikirkan ketika ini.

Semua pihak yang terlibat dalam Liga Malaysia termasuk Liga Bolasepak Malaysia (MFL) serta pengurusan kelab atau pasukan perlu mengekalkan apa yang telah ada ketika ini, iaitu kebenaran yang diberi Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) terhadap saingan liga tempatan yang hampir sampai ke penghujung.

Degan rekod bersih tanpa sebarang jangkitan Covid 19 dikalangan pemain mahu pun pegawai, soal tentang ‘pemain ke 12’ mungkin belum sesuai untuk dipertimbangkan ketika ini.

Dengan peningkatan kes jangkitan harian, diharapkan kesemua pemain dan pegawai pasukan mampu mengawal pergerakan dalam persiapan untuk menghadapi Piala Malaysia.

Tidak dinafikan penonton mahupun penyokong menjadi ‘nadi’ pasukan, namun sehingga tempoh sekurang kurangnya musim 2020 melabuhkan tirainya, adalah wajar peraturan stadium kosong dikekalkan.

Liga Malaysia antara saingan bolasepak yang masih berjaya diteruskan di rantau Asia Tenggara tanpa sebarang jangkitan Covid 19 setakat ini.

Pendekatan yang telah digunakan oleh juara Liga Super tujuh kali berturut turut, Johor Darul Takzim (JDT) yang menggunakan program ‘in car viewing party’ di kawasan parkir terbuka dengan tayangan skrin mungkin boleh dijadikan asas untuk memeriahkan semula Liga Malaysia dengan suasana norma baharu.

Namun, keputusan perbincangan dan pendirian berhubung isu ini terletak di tangan MFL dan status semasa Covid 19 di negara ini.

Tidak perlu jadikan negara negara luar sebagai contoh, tetapi cukup dengan menilai kemampuan dan keadaan semasa di Malaysia sebelum penilaian dibuat.

- Advertisement -