khairy

Oleh Ku Mohd Lufti

Menteri Belia dan Sukan , Khairy Jamaluddin Abu Bakar hairan dengan rungutan pihak tertentu yang tidak melakukan pemeriksaan secara teliti sebelum mengeluarkan sebarang komen.

Ia susulan dakwaan bapa kepada pelumba Moto 3 negara, Khairul Idham Pawi yang kecewa apabila tiada pihak yang tampil membantu pelumba pasukan Honda itu dan terpaksa membiayai sendiri kos untuk pegawai pengiring.

“Saya harap semua pihak dapat menyampaikan perkara yang benar. Kalau kata tidak ada usaha untuk bantu, tidak betul la. Tidak diberi, nanti orang maki, ayah dia kat tidak ada sesiapa pun yang tolong.

“Orang kutuk saya dalam Facebook, ‘ape la kerajaan tidak tolong’. Bila dah diberi jangan kata tidak beri,” kata Khairy ketika sidang media selepas melancarkan Perdana Fellows Structured BootCamp 2016 di sini hari ini.

Malah, Khairy menjelaskan surat yang menyatakan peruntukkan keseluruhan sebanyak RM 200 ribu telah dikeluarkan untuk diberi kepada Khairul pada 20 April lalu.

 Namun peruntukkan tersebut masih tertangguh kerana dokumen termasuk akaun bank milik Khairul Idham Pawi tidak diserahkan.

“Oleh kerana kita tidak terima akaun bank dia (Khairul Idham Pawi) sendiri sebab kelulusan atas nama dia bukan nama ayahnya.

“Sebab itu belum dapat selesaikan, kelulusan sudah diberi, surat sudah dihantar , ini RM100 ribu yang pertama dan saya telah arahkan Ketua Setiausaha KBS untuk meluluskan RM100 ribu lagi.”katanya lagi.

Tambah Khairy, Khairul boleh melakukan apa sahaja terhadap peruntukkan termasuk membiayai pegawai pengiring kerana KBS tidak akan meluluskan permintaan tersebut.

Khairul atau dikenali dengan Super KIP meraih podium kedua musim ini selepas memenangi GP Jerman minggu lalu.

Nama pelumba kelahiran Perak ini mula meletup di media massa selepas menaiki podium buat pertama kali ketika perlumbaan GP Argentina.

- Advertisement -