Bandar Sukan Kuala Lumpur disenarai pendekkan dalam kategori Bangunan Baharu dan Lama di Festival Seni Bina Dunia 2017 yang berlangsung pada 15-17 November ini di Arena Berlin, Jerman.
Menteri Belia dan Sukan, YB Brig Jen Khairy Jamaluddin Abu Bakar melahirkan rasa gembira dengan pencapaian tersebut dan berharap Malaysia akan menang di festival itu. 
“Apabila diiktiraf sebagai satu daripada 17 projek yang disenarai pendek daripada ratusan yang dihantar, ini adalah satu pengiktirafan yang besar untuk Bandar Sukan Kuala Lumpur.
“Apa yang penting, kita jaga kompleks ini selepas selesainya Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 dan Sukan Para ASEAN nanti,” katanya ketika ditemui di Majlis Pelancaran Koleksi Terhad Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) semalam (21 Julai). 
Terdahulu, bagi pencalonan Bandar Sukan Kuala  Lumpur ini telah dipaparkan di dalam laman web www.worldarchitecturefestival.com 
Dalam perkembangan sama, Malaysian Resources Corporation Bhd (MRCB) menyiapkan Fasa 1 Bandar Sukan Kuala Lumpur dalam tempoh 15 bulan khasnya bagi penganjuran KL2017.
Kerja naik taraf  juga disiapkan mengikut jadual diantaranya kesemua gelanggang di Bandar Sukan Kuala Lumpur termasuk Stadium Nasional Bukit Jalil, Axiata Arena, Pusat Akuatik Nasional dan Stadium Hoki Nasional. – OLEH HUSNIYAH GHAZALI
- Advertisement -