
Kontinjen Malaysia menyinar pada hari ketujuh saingan Deaflympics Tokyo 2025 apabila berjaya menjelmakan satu pingat emas dan satu gangsa di temasya Tokyo itu.
Tenpin Boling membuktikan reputasi mereka apabila duo lelaki negara — Syabil Azam Syamsul Azam dan Ho Choon Seong — menghadiahkan emas pertama Malaysia di Tokyo setelah menundukkan pasangan Ukraine dalam aksi final yang penuh bergaya.
Di gelanggang badminton, pasangan beregu campuran Edmund Teo/Boon Wei Ying pula memastikan kem badminton tidak pulang dengan tangan kosong apabila bangkit daripada kekalahan di separuh akhir untuk memastikan gangsa milik mereka.
Berlangsung di Komazawa Olympic Park General Sports Stadium, Syabil dan Ho melenyapkan rasa gemuruh untuk menghasilkan aksi penuh bersemangat untuk mengejutkan pasangan pilihan dari Ukraine, sekali gus menukar acara yang asalnya tiada dalam sasaran emas negara kepada pencapaian gemilang.
“Saya sangat bangga dengan mereka… mereka bermain dengan begitu baik dan tenang. Secara jujurnya, acara beregu lelaki ini bukanlah dalam senarai sasaran emas kami. Kami lebih kuat dalam acara berpasukan, beregu dan berpasukan empat lelaki,” jelas ketua jurulatih, Tey Teck Kheng.
Pasangan Malaysia bermula dengan rentak kemenangan 243-211 sebelum Ukraine mengikat dengan catatan 208-181. Namun, Syabil dan Ho kembali menawan lorong saingan pada set penentuan untuk menang 226-171 — sekaligus menghadiahkan Malaysia emas pertama dalam edisi Tokyo ini.
Di arena Badminton, Edmund/Boon pula bangkit daripada kekalahan di separuh akhir di tangan pasangan Korea Selatan untuk menewaskan pasangan India, Abhinav Sharma/Jerlin Jayaratchagan, 21-13, 23-21 pada perlawanan penentuan tempat ketiga dan keempat. Misi mereka selesai dengan kemenangan dalam pertarungan 39 minit bagi mengesahkan pingat gangsa.
Harapan menjejakkan kaki ke final sebelum itu tersekat apabila tewas kepada gandingan Korea Selatan, Shin Kyungduk/Park Min Keong, sekalipun memberikan sedikit harapan dengan kemenangan 21-14 pada permainan pertama. Begitu pun, kedua mereka akhirnya tunduk 21-14, 16-21, 13-21 dalam pertarungan sengit 65 minit.
Arena olahraga turut mencatat kegembiraan di kem Malaysia apabila pelari jarak jauh negara, Azlan Kuste mempamerkan larian penuh bersemangat dengan memecahkan rekod peribadi dalam acara 800m dan 5,000m untuk mara ke peringkat seterusnya.
Dalam acara 800m, Azlan menamatkan perlumbaan di tempat kedua daripada lapan peserta dengan catatan 1 minit 59.40 saat untuk mara ke separuh akhir.
Beliau turut mengesahkan tempat ke final 5,000m selepas menamatkan saingan di tempat ketujuh dengan catatan 16 minit 48.85 saat.
“Saya rasa sangat bersemangat hari ini… dan bersyukur atas semua doa yang diberikan kepada saya,” kata Azlan penuh penghargaan.
Dalam acara lompat jauh, dua atlet negara — Zaiman Megat Abu dan Hazrul Shah Amri — turut mara ke final selepas masing-masing mencatat jarak 6.46m dan 6.26m.






























