Mungkin itu isyarat cuba disampaikan jurulatih skuad bolasepak kebangsaan, Tan Cheng Hoe yang menuntut barisan pemain yang telah disenaraikannya menunjukkan prestasi yang baik dalam dua perlawanan persahabatan antarabangsa menentang Taiwan (7 September) dan Kemboja (10 September).

Menurut Cheng Hoe, dia akan menggunakan dua aksi di tempat lawan itu untuk menilai komitmen pemain dan menguji keberkesanan gandingan baru.

Justeru dia berharap pemain–pemain menggunakan peluang ini sebaik mungkin untuk meyakinkannya betapa mereka layak untuk berada di dalam skuad.

“Seperti kita tahu ada beberapa pemain yang kali pertama bersama saya dan juga pasukan kebangsaan seperti Norshahrul (Idlan Talaha), Farizal (Marlias), Azzizan (Nordin) dan Nik Akif Syahiran (Nik Mat).

“Pemain-pemain ini disenaraikan di dalam skuad kerana telah menunjukkan satu prestasi yang baik sepanjang musim. Jadi saya akan memberi peluang kepada mereka dan menggunakan dua perlawanan ini untuk mencuba beberapa kombinasi dan mendapatkan keserasian di dalam pasukan.

“Yang penting saya tidak mahu pemain rasa tertekan sebaliknya dapat menunjukkan satu prestasi yang baik,” kata Cheng Hoe ketika ditemui pemberita selepas mengendalikan hari pertama kem latihan pusat skuad kebangsaan di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nilai pada Isnin.

Dalam pada itu, Cheng Hoe mengesahkan empat pemain telah diberi pelepasan iaitu Rizal Ghazali (Kedah) serta tiga pemain Johor Darul Takzim iaitu Syafiq Ahmad, Safawi Rasid dan Adam Nor Azlin bermakna hanya 23 pemain hadir melapor diri.

Rizal disisihkan kerana mengalami kecederaan lutut, Syafiq pula baru sahaja menimang cahaya mata sulung kira-kira dua minggu lalu manakala Safawi dan Adam diberi pelepasan kerana kepenatan beraksi dalam terlalu banyak perlawanan.

Tambah Cheng Hoe, “23 pemain sudah cukup. Saya tidak bercadang memanggil pemain lain dan berharap pemain yang telah melapor diri akan bebas kecederaan dan memberi fokus seratus peratus.”
Skuad Harimau Malaya akan berlatih selama dua hari di USIM dan terbang ke Taipei City pada Rabu. MUHD AIMAN 

- Advertisement -