Cabaran Malaysia dalam acara perseorangan badminton lelaki berakhir hari ini selepas Edmund Teo tewas pada pusingan kedua badminton lelaki yang mengharungi saingan sukar pada Hari Ke-5 Deaflympics Tokyo 2025.

Teo, yang mempamerkan aksi meyakinkan pada perlawanan awal apabila menewaskan Chen Chung-I dari Taiwan 21–17, 21–14, gagal menandingi kelajuan dan ketangkasan pemain Uzbekistan, Shokhzod Gulomzoda, kecundang 21–18, 21–5.

Cabaran beregu lelaki negara juga menemui noktah selepas gandingan Francis Tan / Edmund Teo akur kepada kehebatan beregu Perancis yang tampil lebih mantap.

Walaupun berdepan kekecewaan, kem negara kekal optimis dengan tumpuan kini terarah kepada acara beregu wanita dan beregu campuran—dua acara yang masih menawarkan peluang pingat buat Malaysia.

Gandingan beregu wanita, Boon Wei Ying / Foo Zu Tung, pemenang pingat emas Deaflympics 2022, akan beraksi pada suku akhir esok menentang pasangan China, Jiang Jialei / Zhang Hengyan.

Kemenangan akan mengesahkan kemaraan Malaysia ke separuh akhir dan membuka laluan ke podium buat kali kedua berturut-turut.

Dalam acara beregu campuran, pasangan Edmund Teo / Boon Wei Ying akan mengetuai cabaran negara dalam pusingan awal esok, berdepan pasangan Bulgaria, Lyudmil Getov / Silviya Chapkanova.

Satu lagi pasangan negara, R. Aravindakumar / Foo Zu Tung, bakal perlu berada di tahap terbaik apabila berdepan gandingan Chinese Taipei, Yin Shih Rong / Chiang Chiao-Yu. 

Di arena trek dan balapan di Komazawa Metropolitan Stadium pula, atlet lompat jauh, Zaiman Megat Abu, yang beraksi sambil menahan kecederaan tumit, menamatkan acara lompat kijang di tempat kelima dengan catatan 14.17m, masih jauh daripada rekod peribadinya, 14.82m.

“Saya tahu saya boleh buat lebih baik. Saya sangat kecewa kerana percaya saya mampu melepasi 15 meter. Saya akan berikan yang terbaik dalam acara lompat jauh esok,” katanya, tetap bersemangat meskipun bergelut dengan kecederaan.

Pelari jarak sederhana, Azlan Kuste, yang cemerlang dalam pusingan kelayakan semalam, berdepan kesukaran hari ini apabila beraksi dalqam keadaan yang dibelenggu masalah Kesihatan selain  penguasaan barisan pelari bertaraf dunia.

Beraksi dengan simptom selesema, Azlan mencatat 4 minit 17.74 saat dalam final 1,500m untuk menamatkan saingan di tempat ke-10 daripada 12 peserta dalam perlumbaan yang dikuasai pelari jarak jauh Kenya.

“Saya mohon maaf atas prestasi hari ini. Saya akan berikan segalanya dalam acara 800 meter,” tekad Azlan.

Sementara itu, bakat muda boling negara Syabil Azam meneruskan kempen dengan perkembangan yang memberangsangkan apabila mencatat 989 jatuhan pin pada pusingan kedua acara individu lelaki Kumpulan A.

Pemain muda itu dijangka terus meningkat sambil memburu catatan lebih baik pada pusingan-pusingan seterusnya.

- Advertisement -