Jaringan Gonzalo Cabrera pada masa tambahan memastikan kemenangan 2-1 buat Johor Darul Takzim ke atas Sabah dalam aksi pusingan kedua Piala FA yang berlangsung di Likas, sekaligus meranapkan hasrat pasukan dari Borneo itu untuk melakar kejutan.

Turun beraksi di stadium dibanjiri hampir 25,000 penyokong – situasi yang sudah lama tidak disaksikan di Sabah – tuan rumah mendahului di separuh masa pertama menerusi jaringan Lee Gil Hoon pada minit ke-24.

Penyerang veteran, Luciano Figueroa mengikat kedudukan di awal separuh masa kedua untuk kedudukan 1-1 sehingga tamat 90 minit permainan, sebelum Cabrera meledak jaringan kemenangan empat minit selepas aksi bersambung di masa tambahan sekaligus mengelakkan harimau selatan dari menjadi pasukan gergasi pertama tersungkur awal.

Dalam aksi di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Guilherme De Paula membuka akaun jaringannya musim ini dengan meledak hatrik pada minit ke-21, 65 dan 90 untuk membantu Kuala Lumpur melangkah ke pusingan ketiga dengan menewaskan Kuching FA 4-0.

Satu lagi gol dijaringkan oleh Paolo Josue pada minit ke-48.

Di Lumut, Perak meneruskan kemaraan setelah bangkit dari ketinggalan untuk membenam Sarawak 3-1 menerusi dua jaringan Gilmar Filho da Silva dan satu oleh Wander Luiz. Gol tunggal sang bujang senang dijaringkan Mateo Roskam.

Manakala Felda United bimbingan B.Sathiananthan pula bangkit daripada ketinggalan untuk menyingkirkan Felcra FC 5-2. Thiago Augusto menjaringkan dua gol sementara Shukor Adan, Hadin Azman dan Gilberto Fortunato masing-masing menyumbang satu jaringan.

Gol Felcra dijaringkan oleh Endrick Dos Santos Parafita dan Anselmo Arudda da Silva. – OLEH MUHAMMAD AIMAN

- Advertisement -